LABUAN: Seramai 51 kanak-kanak yang selasai berkhatan menerusi Program Khatan beramai-ramai secara percuma anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Labuan diraikan dengan majlis Syahadah (mengucap kalimah dua syahadat) dan Zikir Marhaban yang diadakan di Surau Nur Hidayah Perumahan Batu Arang, di sini pada Ahad.
Timbalan Ketua USIA Bahagian Labuan, Saharai Amdan berkata, majlis Syahadah dan Zikir Marhaban dianjurkan USIA Bahagian Labuan dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Nur Hidayah Perumahan Batu Arang.
Beliau berkata, majlis yang turut dihadiri oleh ibu bapa kanak-kanak terbabit bertujuan untuk menadah tangan kesyukuran kepada illahi atas kesempurnaan program berkhatan yang dijalankan secara beramai-ramai.
Pada 17 Febuari lalu, seramai 51 kanak-kanak yang ibu bapa mereka adalah ahli USIA telah melaksanakan ibadah berkhatan beramai-ramai yang dianjurkan oleh USIA Bahagian Labuan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Labuan.
“Secara keseluruhannya seramai 51 kanak-kanak tersebut diraikan dengan zikir Marhaban dan upacara mengucap kalimah syahadat beramai-ramai (Syahadah) yang dipimpin oleh Imam Surau Nur Hidayah, Ustad Matjali Musram” katanya.
Turut diadakan tazkirah menjelang Ramadan yang disampaikan oleh Ketua Imam Masjid An Nur, Ustaz Mohd Najeeb Abdul Rahim.
Sahari berkata, program berkhatan dan majlis kesyukuran itu merupakan salah satu aktiviti dakwah USIA Labuan yang dilaksanakan setiap tahun.
Hadir sama, Pengerusi Surau Nur Hidayah Perumahan Batu Arang, Jikiria Musa, Naib Ketua USIA Bhagian Labuan, Haji Yahya haji Bakri.