28 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mac 10, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

YPNM menyeru orang mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam penggunaan makanan

YPNM) menyeru orang mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam penggunaan makanan

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menyeru orang ramai agar mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam penggunaan makanan dengan hanya memesan makanan yang mencukupi untuk keperluan sebenar serta mengelakkan pembaziran.

Pembaziran makanan bukan sekadar isu tabiat individu, malah merupakan isu moral, sosial dan ekonomi yang memberi kesan besar kepada masyarakat.

Di banyak negara di dunia, masih terdapat jutaan penduduk yang berdepan kelaparan, kekurangan zat makanan dan masalah nutrisi yang serius.

Malah, di sesetengah negara, kanak-kanak mengalami pertumbuhan tidak normal akibat kekurangan nutrien yang berpanjangan, manakala makanan bagi mereka merupakan keutamaan dan bukan sesuatu yang boleh dibazirkan.

YPNM menegaskan bahawa setiap makanan yang dibazirkan bukan sahaja melibatkan pembaziran wang pengguna, tetapi juga pembaziran sumber seperti tenaga kerja, air, tenaga dan hasil pertanian.

Amalan pemikiran positif dan berhemah dalam membuat pesanan makanan dapat membantu pengguna menjimatkan kos sara hidup serta menyumbang kepada kelestarian sistem makanan negara.

Di beberapa negara, langkah tegas telah diambil bagi menangani isu pembaziran makanan. Terdapat restoran yang mengenakan caj tambahan atau penalti kepada pelanggan yang memesan makanan secara berlebihan dan meninggalkan jumlah makanan yang tidak dihabiskan melebihi had tertentu.

Pendekatan ini bertujuan mendidik masyarakat agar lebih menghargai makanan dan tidak mengambilnya secara mudah.

Sehubungan itu, YPNM menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan kesedaran awam berkaitan pengurangan pembaziran makanan dan menggesa pengguna untuk merancang pesanan dengan bijak, memesan dalam kuantiti sederhana serta mensyukuri makanan yang dinikmati.

Pengurangan pembaziran makanan adalah tanggungjawab bersama. Melalui tindakan kecil tetapi konsisten, pengguna mampu mengurangkan tekanan ke atas rantaian bekalan makanan, menjimatkan perbelanjaan isi rumah dan pada masa yang sama menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat global yang masih berdepan isu keselamatan makanan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN