KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa komited dalam melaksanakan program dan inisiatif keusahawanan di seluruh negara termasuk di negeri Sabah.
Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, komitmen tersebut dizahirkan dengan memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara di peringkat kementerian, di mana tanpa menjejaskan pelaksanaan program sedia ada di seluruh negara, fokus tambahan telah diberikan kepada negeri Sabah dan Sarawak.
Selari dengan perkara ini, katanya, beberapa langkah telah diambil bagi memperkasakan ekosistem keusahawanan dan gerakan koperasi di negeri Sabah berlandaskan beberapa faktor yang telah dikenal pasti.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata demikian semasa menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen Ke-15 2025 pada Isnin.
Dalam mesyuarat tersebut, Jonathan meminta Menteri KUSKOP, menyatakan langkah-langkah yang telah dibuat dan yang sedang dirancang oleh pihak Kementerian untuk membantu membangunkan lebih ramai usahawan yang berjaya di Sabah serta membantu koperasi-koperasi yang ada di Sabah untuk mencapai kemajuan yang lebih tinggi.
“Antara Langkah yang diambil ialah menyediakan skim pembiayaan dan program keusahawanan khas untuk usahawan di negeri Sabah seperti Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dan Usahawan Kraf di bawah TEKUN Nasional, Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus oleh SME Corp dan Sesi Konsultasi Bizclinic Zon Borneo oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
“Selain itu, kita juga melaksanakan Projek Pembangunan Premis Tamu Desa dengan menyediakan fasiliti perniagaan yang lebih teratur bagi mewujudkan suasana perniagan yang selesa kepada peniaga dan pengunjung serta dapat meningkatkan hasil jualan perniagaan.
“KUSKOP juga ada membuka cawangan baharu dan menambah pejabat atau kemudahan perbankan di bawah agensi-agensi KUSKOP seperti INSKEN, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), TEKUN Nasional, Pernas dan Bank Rakyat di negeri Sabah,” katanya.
Tambah Ewon, kementeriannya juga menyediakan Hab Usahawan PMKS Negeri Sabah di bawah SME Corp sebagai pusat sehenti bagi memudahkan usahawan mendapatkan maklumat keusahawanan dengan cepat dan tepat.
Di samping itu, katanya, kementerian itu juga melaksanakan program karnival dan ekspo keusahawanan dan koperasi di negeri Sabah seperti Hari Koperasi Negara dan Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan, Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan, Karnival Usahawan dan Koperasi Madani, dan Karnival Usahawan di bawah agensi-agensi KUSKOP seperti UDA Holdings, Pernas, Bank Rakyat dan TEKUN Nasional.
Langkah yang seterusnya, jelas Ewon, ialah mengadakan kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Sabah melalui kepengerusian bersama dalam Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah (JPPKNS) dan pembentukan Majlis Pembangunan Usahawan Koperasi, Penjaja Dan Peniaga Kecil Daerah (MPUKPPK) Sabah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah.



