GAMBAR KENANGAN……Georgina (ketiga dari kanan) bergambar bersama Ketua Pemuda UPKO Malaysia Felix Saang (topi putih), Leester (kanan), pemimpin Upko Keningau dan sebahagian peserta karnival.
KENINGAU, 02 Ogos 2025 — Semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan belia terus diperkasa menerusi penganjuran Karnival Bola Sepak 9 Sebelah yang berlangsung di Padang Kampung Tagai, di sini hari ini.
Karnival anjuran UPKO Bahagian Ranau dengan kerjasama Pemuda UPKO Keningau itu berjaya menarik penyertaan pasukan tempatan sekali gus meriahkan suasana komuniti setempat.
Program ini merupakan inisiatif UPKO Pusat dan telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Pemuda UPKO Malaysia, Felix Saang.
Menurut Ketua Bahagian UPKO Ranau, Puan Georgina George selaku penganjur bersama, karnival tersebut bukan sahaja menyemarakkan minat belia dalam sukan bola sepak, malah turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
“UPKO terus komited dalam memperkasa generasi muda melalui pendekatan holistik yang merangkumi sukan, pembangunan komuniti dan kepimpinan akar umbi,” ujar mereka dalam satu kenyataan.
Karnival ini turut mencerminkan usaha berterusan parti dalam mendekati belia dan menyediakan ruang yang sihat dan positif untuk pembangunan sahsiah serta perpaduan.
Turut hadir, Ketua Pemuda UPKO Ranau, Leester Dalimon, sebahagian AJK Upko Ranau dan pemimpin Upko Bahagian Keningau.



