Alexius Majinggol (Guru Besar) turut hadir memberikan sokongan kepada kanak-kanak
RANAU : Seramai 40 orang kanak-kanak hari ini telah menghadiri Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) yang telah diadakan di Klinik Desa Nalapak, 19 Kilometer dari Pekan Ranau. Sebahagian daripada kanak-kanak yang berusia antara lima hingga 11 tahun tersebut terdiri daripada murid-murid yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Nalapak termasuk Pra, Sekolah Kebangsaan Kananapon, Sekolah Kebangsaan Matupang dan ada juga yang datang daripada Daerah Sandakan.
Ketika ditemui media, Doktor Roniwillen Kasimin berkata, seperti biasa kanak-kanak yang dibawa oleh ibu bapa masing-masing akan diberikan penerangan terlebih dahulu sebelum mereka menjalani suntikan vaksin. Selepas menerima vaksin di bilik vaksinasi, semua kanak-kanak direhatkan beberapa minit sebelum dibawa balik oleh ibu bapa mereka.

Doktor Roniwillen Kasimin sedang memberikan penerangan kepada ibu dan anak
“Kepada semua anak dan ibu bapa yang hadir hari ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ingin merakamkan ucapan tahniah dan terimakasih. Kita mengharapkan hari kedua esok akan lebih ramai yang hadir untuk divaksin,”Katanya.
Hadir bersama ke pusat kesihatan tersebut ialah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Nalapak, Alexius Majinggol. Beliau turut memuji sikap ibu bapa yang prihatin dan mengambil berat tentang kepentingan vaksin kepada anak-anak demi memerangi virus Covid-19.
“Marilah kita bersama-sama menangani pandemik COVID-19 yang telah memberikan impak kepada status kesihatan, ekonomi dan kehidupan masyarakat sejagat dengan bersama-sama menjayakan PICKids ini,” katanya.

Adik Aivie Vianty Rogelin 10 tahun, (salah seorang kanak-kanak) tersenyum semasa menerima suntikan