SIMBOLIK…. Nor Rashid (dua dari kiri) bersama Raymond (dua dari kanan), Vickson (kiri sekali) dan Rosfadzilani ketika merasmikan Program Hari Tanggungjawab Korporat Maybank Global di Komplkes Sukan Air Antara bangsa Labuan, baru baru ini.
Labuan: Lebih 40 kakitangan Maybank International Cawangan Labuan telah menjayakan Program Hari Tanggungjawab Korporat Global Maybank (Maybank Global CR Day) di Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan, baru-baru ini.
Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Pengurus Besar, Maybank International Cawangan Labuan, Nor Rashidi Mohammad.
Nor Rashidi ketika berucap pada majlis itu berkata, program yang bertemakan ‘Melestarikan Alam’ itu turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Labuan dan Etiqa Offshore Insurance (L) Ltd.
Katanya, sempena program itu, pelbagai aktiviti telah dijalankan yang melibatkan kelestarian alam dan pendidikan ekologi.
Selian itu katanya, Maybank Global CR Day antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada kakitangan Maybank menyalurkan sumbangan kepada komuniti yang dapat memberi impak kepada kehidupan dan alam sekitar.
Pada majlis itu, Maybank International Labuan menerusi Perbadanan Labuan telah menanam sebanyak 100 batang anak pokok renik di sekitar pesisir pantai sebagai usaha memerangi hakisan.
Turut diadakan ceramah mengenai kepentingan kritikal hutan bakau yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim dari Universiti Malaysia Sabah.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Arkitek Landskap, Perbadanan Labuan, Vickson E Tabak, Pegawai Kanan, Etiqa Offshore Insurance (L) Ltd, Rosfadzilani Ghani, dan Pengarah Etiqa Ofsshore Insurance (L) Ltd, Raymond Wong Shu Yoon.