28 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mac 10, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

3cat Satukan Pemimpin Korporat Kurangkan E-Waste, Perkasa Ekonomi Kitaran

KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperkukuh tadbir urus teknologi yang lebih bertanggungjawab dan menyokong masa depan digital yang mampan, 3cat Sdn Bhd (3cat) memeterai Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama XOX Bhd, Pos Malaysia Bhd dan JCL Credit Leasing Sdn Bhd bagi mengurangkan sisa elektronik (e-waste) serta menangani cabaran perubahan iklim.

Kerjasama strategik itu menghimpunkan organisasi utama dalam satu misi bersama untuk menurunkan kesan alam sekitar hasil penggunaan peranti elektronik yang semakin meningkat, di samping menggalakkan penggunaan teknologi secara lebih berhemah di seluruh negara.

Menerusi MoC berkenaan, 3cat akan menerajui usaha memperkasa amalan ekonomi kitaran melalui pembaikan, baik pulih dan pengurusan kitar hayat peranti elektronik secara bertanggungjawab. Rakan kolaborasi pula akan menggerakkan pelaksanaannya dalam ekosistem operasi serta rangkaian pemegang taruh masing-masing. Semua pihak komited mempromosikan program tukar beli, guna semula serta pelupusan elektronik secara mesra alam sebagai pendekatan mampan menangani isu e-waste.

Keperluan memanjangkan jangka hayat peranti semakin mendesak memandangkan industri elektronik menyumbang impak karbon yang signifikan. Dengan lebih satu bilion telefon pintar dijual di seluruh dunia setiap tahun, proses pembuatannya sahaja menyumbang kepada pelepasan karbon yang tinggi. Memanjangkan jangka hayat peranti melalui pembaikan dan guna semula berpotensi mengurangkan sehingga 80 kilogram karbon dioksida bagi setiap unit peranti.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif 3cat, Karl Loo berkata, kemajuan teknologi sememangnya memudahkan kehidupan, namun peningkatan penggunaan peranti perlu diseimbangkan dengan agenda kelestarian.

“Kemajuan teknologi membantu manusia menjalani kehidupan yang lebih produktif. Namun, dengan peningkatan penggunaan peranti di Malaysia saban tahun, aspek kelestarian perlu dijadikan keutamaan untuk menangani kesan terhadap iklim. Kami berbesar hati dapat menghimpunkan pemimpin korporat untuk menerajui perubahan melalui contoh yang baik,” katanya.

MoC tersebut dimeterai bersempena pelancaran acara JomUpgrade anjuran 3cat yang berlangsung dari 9 hingga 15 Februari 2026 di Plaza Low Yat. Program itu menjadi platform demonstrasi amalan ekonomi kitaran secara langsung dengan mempamerkan peranti yang dibaik pulih, inisiatif tukar beli serta model pemilikan alternatif bagi mengurangkan sisa elektronik dan pada masa sama meningkatkan akses teknologi kepada pengguna.

Kerjasama berkenaan turut mengukuhkan komitmen semua pihak dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs), khususnya SDG 12 yang menekankan Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, selaras dengan aspirasi kelestarian serta agenda iklim Malaysia melalui kepimpinan dan tindakan kolektif industri.

Ditubuhkan pada 2023 di Kuala Lumpur, 3cat kini berkembang daripada sebuah kedai tunggal kepada 22 cawangan runcit di seluruh negara. Pertumbuhan itu disokong keupayaan e-dagang berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi pengurusan tukar beli menyeluruh yang memacu kecekapan operasi dan amalan ekonomi kitaran secara berskala.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN