29 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon Cadang PKD Pinolobu Pusat Pengumpulan Madu Tantadan Kota Belud

OLEH MARRYAN RAZAN

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar Pusat Keusahawanan Desa (PKD) Kampung Pinolobu dijadikan sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan Madu Tantadan di daerah ini.

Beliau berkata, bangunan bernilai RM50,000 daripada peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah itu dibina pada tahun lalu dan siap sepenuhnya awal tahun ini.

Ewon menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Pusat Keusahawanan Desa Kg.Pinolobu.

“Pada mulanya bangunan ini dibina khusus untuk para pengusaha madu tantadan dari kampung ini sahaja untuk memudahkan mereka mengumpul, memproses dan memasarkan produk madu tantadan, tetapi saya mencadangkan supaya bangunan ini dijadikan sebagai pusat pengumpulan madu tantadan kawasan Kota Belud,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bangunan Keusahawanan Desa Kampung Pinolobu, Pelancaran Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Pertandingan Keceriaan Amalan Kebersihan, Keceriaan, Keselamatan, Keharmonian dan Kesejahteraan (5K) kali ke-3, di perkarangan pusat keusahawanan desa, di sini, hari ini.

Ewon melawat pameran PDRM pada majlis itu, turut kelihatan Mohd Zaidi.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, selain membina pusat keusahawanan desa, kementeriannya juga akan melengkapkan pusat itu dengan kemudahan atau peralatan mesin yang bersesuaian dengan jenis perusahaan.

“Ini adalah antara usaha kementerian memperkasakan usahawan luar bandar dengan harapan suatu hari nanti produk mereka bukan setakat dipasarkan di pasaran tempatan tetapi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Ewon bergambar bersama para jemputan dan penduduk kampung pada majlis itu.

Beliau berkata, selain PKD Kg.Pinolobu, setakat ini, beberapa bangunan PKD telah dibina antaranya di daerah Kudat, Pitas, Matunggong, Beluran, Keningau, Penampang, Kuala Penyu dan Nabawan.

Sempena program itu, turut diadakan Dialog Bersama pihak polis dari Ibu Pejabat Polis daerah Kota Belud bertemakan “Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada” dan pameran PDRM Kota Belud.

Ewon menunjukkan produk madu tantadan keluaran Kampung Pinolobu.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Belud OCPD Supt Mohd Zaidi Abdullah, Pegawai Perpaduan Daerah Mohd Bisi Jamit, Penolong Pengarah Kanan Wilayah Pantai Barat Utara, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Asnijah Ibin, Penyelia Koperasi SKMM Kg Pinolobu Berhad SKMM Farah Michael, Ketua Kampung Pinolobu Gunting Sakupan, Pengerusi MPKK Kg Pinolobu Jalni Mison dsn Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kg.Pinolobu Risin Sikin.

Selepas itu, Ewon turut meluangkan masa menyantuni penduduk Kampung Rangalau, Kg.Podos dan Narinang. –TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN