MOHD NIZAM (enam dari kiri barisan depan) bersama pelajar asnaf yang menerima anugerah Kecemerlangan Akademik MAIWP 2021.
LABUAN:Seramai 39 orang anak golonagan asnaf di Labuan menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Majlis Agama Islam Wilayah Pesekutuan (MAIWP) bagi tahun 2021 yang diadakan di Dewan Utama Kompleks Darul Kifayah MAIWP Labuan.
Kesemua mereka merupakan anak asnaf yang menerima Bantuan Zakat Pendidikan MAIWP yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Diploma dan Ijazah melibatkan agihan wang zakat sebanyak RM11,450.00 melalui Bantuan Zakat Pendidikan MAIWP.
Sementara itu, majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar MAIWP 2021 telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai MAIWP, Mohd Nizam Yahya.
Majlis penyampaian anugerah tersebut bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada anak-anak asnaf yang cemerlang dan memperlihatkan kepada masyarakat bahawa anak anak asnaf juga mampu memperolehi kejayaan dalam akademik seiring dengan golongan yang berkemampuan.
Pada majlis itu, Mohd Nizam juga turut menyampaikan lima Bantuan Zakat Khas MAIWP-INSANI yang melibatkan Bantuan Kewangan Bulanan MAIWP berjumlah 3.4 juta untuk diagihkan kepada 4,600 penerima dan Bantuan Zakat Khas kepada 8,000 penerima Bantuan Am Persekolahan berjumlah RM1.6 juta.
Tiga lagi bantuan zakat yang disempurnakan oleh Nizam ialah Bantuan Zakat Khas kepada 410 penerima bantuan Am Pelajar IPT berjumlah RM 205.000.00, Bantuan Zakat Khas kepada 27 buah sekolah rendah dan menengah bagi pembiayaan program dan aktiviti pelajar asnaf serta penambahbaikan infrastrutur sekolah berjumlah RM810,000.00 dan Bantuan Zakat Khas kepada 31 buah Sekolah Rendah Agama dan KAFA bagi pembiayaan infrastruktur sekolah berjumlah RM930,000.00.
Jumlah keseluruhan Bantuan Zakat Khas MAIWP- INSANI yang diagihkan kepada asnaf di Wilayah Persekutuan Labuan adalah sebanyak RM6,995,000.00.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Penolong Pengarah (Sektor Pendidikan), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Hajah Kamariah Salim, Pengurus Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Hartanah MAIWP, Ir. Abd Karim bin Mohamed, dan Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md Fadzli Md Saad.