OLEH: MA
KENINGAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini telah mengeluarkan sebanyak 38 keping kompaun ke atas individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)tanpa alasan yang kukuh.
Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Supritendan Polis (DSP)Shahrudin Mat Husain berkata, kesemua kompaun berkenaan dikeluarkan dalam Operasi Snap Check di tiga lokasi masing-masing di Kilometer 2 Jalan Keningau – Apin-Apin, Jalan Durok – Keningau dan di sekitar Pekan Tambunan.

Katanya, pecahan jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah 15 keping Kilometer 2 Jalan Keningau – Apin-Apin, Jalan Durok – Keningau 18 keping dan Pekan Tambunan 5 keping.
“Kesemua Orang Kena Kompaun (OKK) ini telah didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) PPPPB (Pindaan) (No.2) 2020 dan boleh didenda sebanyak RM 1,000” katanya dalam satu kenyataan media selepas operasi itu kelmarin.

Beliau berkata, Operasi Snap Check Ops Covid-19 dilaksanakan di tiga lokasi berbeza dan terkesan individu-individu yang tidak mematuhi perintah yang telah dikeluarkan oleh kerajaan dalam usaha nasional untuk membendung penularan wabak Covid-19.
Jelasnya, umum telah mengetahui bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan memasuki fasa ke-3 mulai esok (15 – 28 April 2020), di mana semua lapisan masyarakat sepatutnya sudah jelas dan memahami usaha kerajaan melaksanakan PKP ini bertujuan untuk membendung penularan wabak Covid-19 ke tahap yang lebih kritikal.

Oleh yang demikian katanya, pihak PDRM menyeru agar semua lapisan masyarakat mematuhi segala arahan dan perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Selain dikompaun, mana-mana individu yang masih mengingkari perintah ini juga boleh ditangkap dan direman.oleh pihak PDRM mengikut peruntukan undang-undang yang ada. –TAMAT-
[