ADVERTISEMENTspot_img

38 AHLI BAHARU SERTAI PBS, CAWANGAN PEKAN KUNDASANG DIAKTIFKAN SEMULA

SERAH BORANG …. Dr Joachim (dua kanan) menerima borang daripada Harujin (dua kiri).

KUNDASANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) terus memperkukuh sokongan di peringkat akar umbi apabila 38 ahli baharu menyertai parti itu, sekali gus menyaksikan pengaktifan semula Cawangan PBS Pekan Kundasang yang sekian lama tidak aktif.

Dalam satu pertemuan di Kundasang, dekat sini, pada Sabtu lalu, Ketua Cawangan, Harujin Dani, yang kembali menerajui cawangan berkenaan, menyerahkan borang kepada Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Harujin berkata, keputusan mereka menyertai PBS didorong keyakinan terhadap kepimpinan parti serta perjuangannya yang kekal relevan dalam membela kepentingan rakyat Sabah.

Beliau turut menyeru ahli-ahli baharu agar bersatu hati, berfikiran positif dan memainkan peranan aktif dalam memperkukuh PBS di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Dr. Joachim menyambut baik penyertaan 38 ahli baharu tersebut dan menyifatkan pengaktifan semula Cawangan Pekan Kundasang sebagai perkembangan positif yang mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap perjuangan PBS.

Beliau menegaskan bahawa prinsip “Sabar, Setia, Bersatu”, akan terus menjadi asas kekuatan parti dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, khususnya berkaitan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“PBS sentiasa membuka pintu kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Kekuatan parti terletak pada perpaduan, kesetiaan dan semangat perjuangan bersama,” katanya.

Menurut beliau, PBS akan terus memperjuangkan pembangunan serta kesejahteraan rakyat Sabah, termasuk memastikan kepentingan masyarakat di kawasan N.36 Kundasang sentiasa diberikan perhatian.

Turut hadir Ketua Pemuda PBS N.36 Kundasang merangkap Timbalan Ketua Pemuda PBS Pusat, Khairol Majide Kalimin; Setiausaha Bahagian PBS N.36 Kundasang, Kasinin Basir; Pengerusi JKKK Kg. Desa Aman, Samlee Daim; Pengerusi JKKK Kg. Dumpiring Bawah, Nazrul Muhamin; serta barisan kepimpinan PBS Bahagian N.36 Kundasang.

Penyertaan 38 ahli baharu dan pengaktifan semula Cawangan Pekan Kundasang dijangka menyuntik momentum baharu kepada usaha memperkukuh jentera serta memperluas pengaruh PBS di kawasan berkenaan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN