Abidin (tengah) memukul gong sebanyak tujuh kali sebagai simbolik perasmian Mesyuarat Agung Tri Tahunan (MATT) StarSabah Bahagian N38 Paginatan itu
RANAU: Perjuangan asas penubuhan Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) bagi membela hak-hak rakyat Negeri Sabah telah mendapat momentum di kalangan para pemimpin negeri ini dan kini sudah membuahkan hasil yang membanggakan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir berkata, buktinya dapat dilihat melalui sembilan hak-hak atau tuntutan Negeri Sabah yang telah dikembalikan kepada negeri ini pada hari ini, sementara tuntutan yang lain masih dalam perbincangan.
“Parti StarSabah ditubuhkan oleh Datuk Seri Panglima Dr Jeffery Kitingan berdasarkan supaya beliau beliau mempunyai platform untuk memperjuangkan hak-hak Negeri Sabah.
“Kita berterimakasih kerana hari bukan beliau sahaja yang memperjuangkan hak-hak Sabah ini tetapi disokong juga oleh semua pemimpin-pemimpin dari Negeri Sabah,” katanya.
Abidin berkata, dengan adanya Kerjasama di kalangan semua pemimpin Sabah maka hasilnya sudah nampak sekarang melalui sembilan tuntutan berkenaan.
“Pertama adalah berkenaan penyerahan semula kuasa pentadbiran keatas Pulau Sipadan dan Ligitan. Kedua ialah pindaan keapada Perkara 1 (2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan. Ketiga ialahpemberian kuasa tentang perlesenan dan penangkapan ikan laut dalam.
“Perkara keempat berkaitan pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran sebagai jabatan teknikal di negeri Sabah. Kelima ialah perlantikan wakil kerajaan di Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Keenam ialah penyerahan kawal selia bekalan gas di Sabah.
“Perkara ketujuh ialah pentadbiran kehakiman di Sabah dan Sarawak. Kelapan, penyediaan garis panduan penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di negeri Sabah dan Sarawak. Dan yang kesembilan penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada kerajaan negeri Sabah,” kata beliau.

Abidin menerima cenderakenangan yang disampaikan oleh Pengerusi Penganjur majlis itu
Pada hari ini, katanya, pemimpin-pemimpin Sabah di Parlimen juga telah menyuarakan supaya baki tuntutan yang belum lagi dikembalikan itu haruslah dikembalikan dengan seberapa segera kepada kerajaan Negeri.
Abidin yang juga Naib Presiden StarSabah berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tri Tahunan (MATT) StarSabah Bahagian N38 Paginatan yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau pada hari Jumaat.
Berkenaan program MATT itu, beliau menasihatkan semua yang hadir bahawa setiap kali sesuatu pertandingan dalaman diadakan, pastikan kesatuan di kalangan ahli tidak tergugat.
“Pastikan kita kekalkan kerjasama antara satu sama lain selepas pemilihan kerana adat pemilihan ada menang dan ada yang kalah. Rapatkan hubungan selepas pemilihan supaya kekuatan parti terjaga,” katanya.
Beliau berterimakasih dan menghargai kehadiran waki-wakil komponen parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam majlis itu yang katanya menunjukkan kesatuan di kalangan semua component dalam gabungan tersebut.
Sementara itu, Abidin yang juga merupakan Adun Paginatan berkata, selama tiga ke empat tahun memerintah ada pihak yang memperlekehkan kerajaan GRS dengan mengatakan ia tidak membawa apa-apa.
“Namun dalam tiga tahun ini, Sabah, selaras dengan semangat Sabah Maju Jaya kerajaan di bawah GRS telahpun merekodkan hasil sebanyak RM7 billion pada tahun 2023.
“Ini berlaku berturut-turut dalam masa tempoh tiga tahun. Selain daripada itu peningkata pelaburan akumuliti berjumlah RM33 billion yang telah dibawa masuk kepada negeri Sabah.
“Di samping rekod dagangan yang tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM118.1 billion pada tahun 2023. Ini adalah tertinggi sejak kita mencapai kemerdekaan,” kata beliau.
Tambah beliau, Kerajaan negeri juga menghadapi beberapa cabaran dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk memutarbelitkan cabaran ini yang berkaitan dengan isu eletrik, air, jalan raya dan pembangunan.
“Tetapi Kerajaan GRS akan komited untuk memastikan bahawa masalah-masalah ini akan diselesaikan, kerana masalah ini bukan yang baru timbul beberapa tahun yang lalu tetapi sudah berlanjutan sejak pimpinan kerajaan-kerajaan terdahulu, tetapi yang dipersalahkan ialah Kerajaan GRS.
“Seperti mana yang dikatakan oleh YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor, kerajaan komited untuk memastikan bahawa permasalahan ini dapat diselesaikan untuk masa depan rakyat,” katanya.
Abidin menambah bahawa, tempoh kerajaan sekarang memerintah akan berakhir pada September tahun hadapan dan apabila dilihat arah PRN yang akan diadakan nanti jelas bahawa landskap politik di Sabah berada di persimpangan.
“Pilihan raya ini akan menjadi penentu bagi Negeri kita di mana ianya akan menentukan samada kita terus ditadbir oleh parti-parti luar ataupun samada bagi kita untuk mengemudikan jalan kita sendiri iaitu memilih parti-parti local untuk menjaga rakyatnya sendiri.
“Kita jangan lupa bahawa PRN akan datang akan menjadi ibu dari segala tindakan atau ‘mother of all actions’ kerana itu akan membentuk hala tuju masa depan negeri Sabah.
“Ini bukan sekadar tentang siapa akan mentadbir Negeri Sabah, tetapi tentang jenis masa depan yang kita inginkan untuk kita sendiri dan juga anak-anak kita di masa akan datang,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau mengajak semua penyokong dan ahli parti, khususnya dalam GRS agar meneruskan dan memantapkan kerjasama di kalangan semua.
“Parti Bersatu Sabah (PBS) dan juga Parti StarSabah telahpun memulakan inisiatif kerjasama dan saya difahamkan bahawa satu memorandum persefahaman akan ditandatangani tidak lama lagi.
“Kerjasama ini sudah tentu akan mengeratkan, memantapkan dan memperukuhkan lagi GRS. Saya pasti, sekiranya ada kerjasama GRS khususnya di daerah Ranau di bawah pimpinan parti PGRS di Karanaan, PBS di Kundasang dan StarSabah di Paginatan, kita akan mengekalkan lagi kerusi-kerusi ini dalam PRN akan datang,” jelas beliau.
Turut hadir, Adun dilantik merangkap Ketua Bahagian PGRS Ranau Datuk Amisah Yassin, mantan Menteri Pmebangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Anita Baranting, Setiausaha Bahagian PBS Ranau Sairin Kasaman, Ahli Majlis Tertinggi Parti StarSabah Rubin Guriba, Ketua Wiramuda StarSabah merangkap Pengerusi Ko-Nelayan Kong Soon Choi, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau Benedict Gunda mewakili MP Ranau Datuk Jonathan Yasin, Setiausaha Bahagian StarSabah Paginatan Juis Konsuling dan lain-lain.