IBADAH KORBAN…. Mohd Rafi (tiga dari kiri)ketika menyaksikan penyembelihan lembu korban pada majlis itu
LABUAN: Penganjuran Korban Perdana yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Labuan berjaya menyuburkan semangat permuafakatan bukan sahaja dikalangan ahli-ahlinya tetapi juga masyarakat umum tanpa mengira fahaman politik.
Kejayaan itu dapat dilihat apabila lebih 400 ahli-ahli UMNO bersama penduduk kampung berkongsi tenaga bergotong royong untuk melaksanakan program Ibadah Korban Perdana yang merupakan program tahunan UMNO Bahagian setiap kali menjelangnya Aidiladha.
Lebih manis lagi program Ibadah Korban kali ini ia turut melibatkan kehadiran para pemimpin daripada pelbagai parti yang mendokong Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan menzahirkan rasa syukur kerana program Ibadah Korban yang dilaksanakan pada tahun ini bukan sahaja dapat mengimarahkan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tetapi juga dapat menyatukan umat Islam khususnya di Labuan untuk menjadi sebuah keluarga besar yang cintakan perpaduan.
Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MKT) berkata kehadiran kepimpinan Kerajaan Perpaduan pada program itu menjadi contoh terbaik khususnya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menjalim semangat ukhuwah dalam kalangan pemimpin.
“Dengan gandingan mantap parti-parti Kerajaan Perpaduan yang ada di Labuan ini, kita sebagai satu pasukan akan bawa dan menyelesaikan permasalahan yang ada di Labuan , kita satukan suara pemimpin Labuan dan rakyat Labuan untuk kita angkat
bagi menyelsesaikan dan membawa Labuan ke hadapan …Insya Allah yang lebih maju” katanya ketika ditemui media pada majlis Korban Perdana yang diadakan di Masjid Al-Ehsan Kampung Sungai Labu, pada Sabtu.
Pada majlis itu sebanyak empat ekor lembu berjaya disembelih untuk menyempurnakan ibadah korban spertimana yang dituntut dalam Islam.
Hadir pada majlis itu, Ketua Cabang, PKR Labuan yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, Ketua Parti Amanah Kawasan Labuan, Datuk Wira Dr Ramli Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holding Sdn. Bhd. Noor Halim Datuk Zaini yang mewakili Ketua Parti Warisan Labuan, Datuk Rozman Isli dan Ketua Penerangan Parti Warisan Labuan, Haji Chemat Haji Mustapha.
Hadir sama, Pengerusi JawatanKuasa Masjid Al-Ehsan Kampung Sungai Labu, Sudin Samat dan Ketua Cawangan UMNO Sungai Labu, Jumat Latif serta barisan kepimpinan parti UMNO Bahagian Labuan empat peringkat.