ADVERTISEMENTspot_img

33 Kakitangan Borneo Cultural Village Ikuti Kursus Bahasa Mandarin Tingkat Keupayaan Berkomunikasi Dengan Pelancong China

SUASANA Kursus Bahasa Mandarin di Borneo Cultural Village.

PAPAR: Seramai 33 kakitangan Borneo Cultural Village (BCV) menyertai Kursus Bahasa Mandarin selama 28 hari yang diadakan di Borneo Cultural Village, Papar, menerusi tajaan Kementerian Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah.

Program yang dilaksanakan oleh AMC University College itu bertujuan memperkukuhkan kemahiran komunikasi dalam kalangan kakitangan BCV, khususnya bagi membolehkan mereka berinteraksi dengan lebih berkesan bersama pelancong dari negara China, yang merupakan antara kumpulan pelawat utama ke destinasi pelancongan berkenaan.

Kursus yang menyasarkan peserta berusia antara 18 hingga 45 tahun itu memberi penekanan kepada penguasaan asas bahasa Mandarin, termasuk kemahiran bertutur, mendengar serta penggunaan frasa harian yang relevan dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.

Inisiatif tersebut juga merupakan satu usaha memperkasakan modal insan tempatan agar lebih berdaya saing, sekali gus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada pelancong antarabangsa.

Menariknya, majoriti peserta yang mengikuti kursus ini merupakan anak-anak tempatan yang berasal dari kampung-kampung sekitar Papar dan kawasan berhampiran Borneo Cultural Village.

Penyertaan mereka mencerminkan komitmen untuk meningkatkan kemahiran diri serta membuka lebih banyak peluang dalam industri pelancongan yang semakin berkembang di Sabah.

Melalui latihan intensif selama 28 hari ini, para peserta diharapkan mampu menguasai kemahiran asas bahasa Mandarin yang praktikal, sekali gus memberikan pengalaman yang lebih mesra, profesional dan berkualiti kepada para pelancong.

Penganjuran kursus ini turut mencerminkan komitmen KPSTI Sabah dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan menerusi latihan berimpak tinggi.

Ini selaras dengan usaha memperkasa sektor pelancongan negeri melalui peningkatan kemahiran bahasa dan komunikasi dalam kalangan tenaga kerja tempatan.-Ateng

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN