PELAJAR….160 pelajar yang menaiki penerbangan pertama MH 8683 menunggu di balai perlepasan Lapangan Terbang Labuan.
“Kesemua mereka telah pun menjalani saringan kesihatan dan diberikan taklimat mengenai SOP yang perlu dipatuhi”
Dr. Fary Akmal Osman
LABUAN: Seramai 326 pelajar Semananjung yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dihantar pulang menerusi dua penerbangan sewa khas Malaysia Airlines, pada Selasa.
Kumpulan pertama terdiri daripada 160 pelajar berlepas dari Lapangan Terbang Labuan menaiki penerbangan MH 8683 pada pukul 2.45 petang manakala kumpulan kedua terdiri daripada 166 pelajar berlepas kira-kira jam 6.45 petang dengan penerbangan MH8689.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman berkata, semua pelajar yang terlibat dalam program penghantaran pulang hari ini merupakan pelajar dari zon tengah Semananjung membabitkan Selangor, Johor, Perak dan Kuala Lumpur.
“ Kesemua mereka telah pun menjalani saringan kesihatan dan diberikan taklimat mengenai SOP yang perlu dipatuhi dan setibanya di KLIA mereka akan disambut oleh pegawai Jawatankuasa Bencana Selangor dan Pusat Kawalan Operasi Sepang, manakala proses penerbangan para pelajar dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika melakukan pemantauan pergerakan pelajar terbabit di Lapangan Terbang Labuan.
Hadir sama, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah, Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad, Pengurus Malaysia Airport Sdn. Bhd. Labuan, Ahmad Maidin dan Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Supian Musa.
Dr. Fary berkata, mereka adalah kumpulan ketiga pelajar yang berjaya dihantar pulang ke negeri dan daerah masing-masing. Kumpulan pertama terdiri daripada 47 pelajar dari Kolej Matrikulasi Labuan dihantar pulang ke beberapa bahagian Sabah dan Sarawak pada 2 Mei lalu diikuti kumpulan kedua terdiri daripada 33 pelajar dari Institut Latihan Perindustrian (ITI) yang balik ke Sabah pada Isnin lepas.
Sehingga kini terdapat lebih 300 lagi pelajar UMSKAL yang masih menunggu persediaan untuk di hantar pulang ke Sarawak dan juga Sabah. TAMAT