Oleh: Sylvia Sumping
KOTA KINABALU: Sistem Electronic Planning Permission (ePP) dilancar bagi mempercepatkan proses kelulusan pelan pembangunan tanpa menjejaskan kualiti pembangunan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata inisiatif dan cadangan untuk memudah cara tempoh serta proses permohonan kelulusan Pelan Pembangunan itu timbul berikutan rungutan daripada pihak pemaju dan pelabur.
“Antara rungutan adalah tempoh proses yang terlalu lama sehingga ada yang menjangkau selama 10 tahun.
“Oleh itu, saya yakin dengan pelancaran sistem ePP ini, secara tidak lansung akan dapat memberi keyakinan kepada para pelabur dalam setiap tanah yang ingin dibangunkan.
“Usaha untuk memudahcara perkhidmatan melalui penggunaan sistem eletronik adalah juga seiring dengan era perkembangan teknologi untuk mengalakan pelaburan dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih cekap, dan kos operasi yang lebih rendah dan kompetetif,”ujar Shafie.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelaksanaan Kelulusan Pelan Pembangunan 24 jam di sini, hari ini.
Menurut beliau, sistem berkenaan dibangunkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN), Jabatan Tanah dan Ukur (JITU), Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong menjelaskan DBKK dipilih untuk memulakan penggunaan kelulusan kebenaran merancang secara ePP.
“Kita berharap pengunaan ePP ini dapat dikembangkan ke Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di Sabah.
”Kita yakin, dengan pelaksanaan sistem ini, ia dapat mengurangkan kos pentadbiran pemaju-pemaju serta pelabur disamping menjimatkan masa,” katanya.
Tambah Safar, sistem tersebut akan dikemaskini dari masa ke semasa untuk memenuhi kehendak pengguna dan penaiktarafan system akan dilakukan bagi memastikan ia dapat diperkembangkan melalui pautan yang menghubungkan jabatan-jabatan teknikal dengan pihak PBT dan pengguna.
Sebanyak 72 deraf Pelan Tempatan dijangka akan diwartakan sebelum Julai 2020 ini dan Pelan Tempatan yang juga dokumen awam boleh diakses secara atas talian melaui sistem ini./PENERANGAN–