25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 5, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

30 ASNAF TERIMA SUMBANGAN BAKUL MAKANAN

Azizah mengagih-agih bubur lambuk untuk berbuka puasa.

KOTA KINABALU : Sempena keberkatan bulan Ramadan, Pergerakan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 30 penerima asnaf dalam satu program kebajikan yang berlangsung dengan penuh rasa prihatin dan tanggungjawab sosial.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, yang menzahirkan komitmen berterusan Wanita GRS dalam membantu golongan memerlukan, khususnya ketika umat Islam menjalani ibadah puasa.

Menurut beliau, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan solidariti dalam masyarakat.

“Kita mahu memastikan golongan asnaf tidak terpinggir, lebih-lebih lagi dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar. Bantuan ini mungkin kecil, tetapi besar maknanya kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa penyampaian bakul makanan 30 orang asnaf di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS) Sembulan di sini hari ini.

Turut hadir sama Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait, Timbalan Bendahari Wanita GRS, Datuk Surinam Sadikun, Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Belynda Buntot serta para penerima sumbangan.

Beliau turut menyeru syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar tampil bersama menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan.

“Selain menyumbang dalam bentuk kewangan atau barangan, syarikat-syarikat termasuk GLC juga digalakkan memperbanyakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bersifat berterusan, agar amalan kebajikan ini menjadi budaya dan bukan sekadar bermusim,” tambah beliau lagi.

Azizah berkata syarikat bukan kerajaan harus berusaha membantu golongan kurang bernasib baik dan tidak seharusnya digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.

“Bantuan yang diberikan oleh syarikat korporat dan badan bukan kerajaan itu bukan saja mampu mengurangkan penderitaan golongan kurang berkemampuan, malah turut meringankan bebanan kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk tujuan itu,” katanya.

Dalam majlis itu, Azizah turut menyerahkan bakul makanan kepada Surinam mewakili Parlimen Beaufort (50) Sipitang (50) dan Kimanis (50) manakala Salmah mewakili Parlimen Putatan (50), manakala Perkumpulan Perempuan Sabah (100).

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN