25 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

MALAM APRESIASI, SUATU PENGHARGAAN BUAT SEMUA PENGACARA, PENGAMAL MEDIA DAN PENULIS DAERAH RANAU

Presiden Kelab Juruacara Ranau, Aduka Jasnin Suman menyampaikan cendera kenangan kepada Datuk Jonathan Yasin

PENGACARA majlis atau MC (master of ceremony) memainkan peranan penting dalam mengemudi sesuatu majlis rasmi ataupun tidak rasmi. Ini kerana sesuatu majlis itu tidak akan bermula selagi pengacara belum bersedia. Merekalah yang akan membuat pengumuman dan memberi arahan atau panduan kepada tetamu yang mengambil bahagian dalam setiap acara. Bukan mudah menjadi pengacara majlis. Pengacara majils memerlukan daya kreativiti dan kebolehan bertutur dengan lancar serta berkesan.

Sementara peranan pengamal media merupakan medium utama dan penghubung dalam menyampaikan informasi, hebahan, berita dan lain-lain sama ada melalui gambar, teks, video, infografik dan sebagainya secara pantas dan sahih.

Melalui kemahiran dan yang bakat dimiliki, para pengamal media dapat bertindak mengubah nilai, sikap dan pemikiran masyarakat ke arah yang lebih moden. Mereka dapat mendidik masyarakat melalui tulisan termasuk nilai-nilai murni dan positif yang perlu disemai dalam kehidupan.

Pengamal media membantu menyebarkan maklumat yang betul dan tepat, sekali gus membentuk tanggapan dan sikap yang betul dalam kalangan masyarakat. Peranan ini semakin penting ketika semua orang seolah-olah mampu menjadi pemberita dengan adanya media sosial.

Berbanding para penggiat seni penulisan kreatif, golongan ini lebih memusatkan daya imaginasi tentang apa juga bentuk penulisan yang bertujuan untuk menyatakan pemikiran, perasaan dan emosi. Penulisan kreatif digarap dengan bahasa yang segar, menyusunan ayat yang indah lagi mencabar dan berunsur murni.

Datuk Jonathan bersama Ahli Kelab Juruacara, Sasterawan, Pengamal Media dan rombongan Jonathan.

Dalam satu program baru-baru ini, sempena Perasmian Persatuan Juruacara Daerah Ranau, satu acara khas iaitu Malam Apresiasi Dan Ramah Mesra Bersama Pengamal Media, Penulis dan Pengacara Daerah Ranau telah diadakan di  DL Flower Café, Kampung Kilimu.

Malam Apresiasi yang disambut santai dan meriah dengan bertemakan pakaian Cowboy / Retro itu menyelitkan berbagai acara menarik seperti Penyampaian Anugerah Idola Sepanjang Zaman, Wartawan Sepanjang Zaman, Sasterawan dan Penyampaian Apresiasi Kepada Ahli Kelab Juruacara Daerah Ranau.

Acara lain ialah persembahan deklamasi sajak dan dendangan syair oleh sasterawan Ranau, Mahmud Jahar, persembahan muzik tradisional (bungkau) oleh Joanness Sigam Duli, persembahan lagu-lagu selingan oleh artis tempatan Sabah, Andrew Pointing, penganugerahan ‘King and Queen of the night,’ jamuan, cabutan bertuah dan acara merakam gambar kenangan.

Timbalan Menteri Kementerian  Dalam Negeri II, merangkap Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin ketika merasmikan majlis tersebut menyifatkan penganjuran malam apresiasi pada malam itu sangat bertepatan bagi menghargai sumbangan para juruacara, pengamal  media dan sasterawan Daerah Ranau.

“Program hari ini merupakan satu signal kepada masyarakat bahawa kita memberi perhatian kepada keitga-tiga bidang ini. Kita sentiasa memberikan sokongan kepada mereka dalam bentuk apapun yang kita usahakan supaya bidang-bidang ini akan terus berkembang maju bukan saja terkenal di daerah ini bahkan ke tempat-tempat lain. Ramai pengacara kita berkebolehan dan sering diundang menjadi pengacara majlis bukan sahaja di majlis yang kecil malah yang lebih besar yang dianjurkan oleh pihak jabatan dan kerajaan. Kita doakan akan lahir lebih ramai pengacara berkualiti tinggi di daerah ini yang akan mengacarai majlis di luar daerah. Syabas kepada Presiden Kelab Juruacara Daerah Ranau (Ranau Emcee Club), saudara Jasnin Suman,” jelas Datuk Jonathan.

Penerima Anugerah Khas Wartawan, Sasterawan dan Juruacara pada Majlis Apreasiasi tersebut

Dalam pada itu, Datuk Jonathan turut mengingatkan para pengamal media agar terus menghebahkan berita yang tepat dan sahih dari sumber pertama.

 “Wartawan dan media merupakan rakan kongsi rapat kepada kerajaan kerana ia menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat. Tugas sebagai wartawan cukup mencabar kini kerana ketika ini kita berdepan dengan era digital. Untuk terus kekal releven dalam dunia kewartawanan, wartawan perlu menyampaikan berita yang benar dari sumber pertama sekaligus menyisihkan berita-berita palsu,” ujarnya.

“Kita menghargai para pengamal media yang mempunyai peranan penting dalam menghebahkan fakta yang baik samada berunsur penulisan bulletin, video pendek tiktok, facebook, telegram, instagram dan sebagainya. Namun pastikan kandungan-kandungan mestilah sesuatu yang baik, relevan dan dapat memberi pengetahuan atau kesedaran kepada masyarakat. Sekiranya golongan media sentiasa ke arah ini maka banyak perkara yang dapat dicapai melalui penyampaian media yang benar dan sahih serta berkualiti. Kita berharap pengamal-pengamal media kita di Ranau dapat menyampaikan berita yang tepat yakni fakta asal dari sumber pertama. Jika menerima bahan berita dari sumber kedua dan ketiga, sesuatu berita itu hendaklah terlebih dahulu disahkan kesahihan sebelum diterbitkan menjadi bahan santapan umum” tegas Datuk Jonathan.

“Kita juga melihat dalam bidang penulisan buku-buku novel dan puisi masih terlalu sangat sedikit di daerah ini. Syabas kepada Encik Mahmud Jahar. Beliau adalah antara penggiat seni yang aktif dalam bidang penulisan kreatif di daerah ini. Kita menyarankan agar golongan belia dapat menceburi bidang ini. Banyakkan membaca hasil karya sasterawan tanah air bagi mencetus ilham dalam penulisan,” jelas Datuk Jonathan.

Dalam majlis itu, Datuk Jonathan telah menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Wartawan Sepanjang Zaman, Mujie Jaimin, Anugerah Juruacara Sepanjang Zaman, Jahidin Numat dan Anugerah Sasterawan Sepanjang Zaman, Mahmud Jahar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN