GAMBAR: CHEA (tengah) bersama sebahagian dari delegasi yang mengadakan lawatan sambil belajar ke Perbadanan Labuan, pada Isnin.
LABUAN: Seramai 22 anggota perwakilan dari Kementerian Ekonomi dan Kewangan Kerajaan Kemboja melakukan lawatan sambil belajar teknikal ke Perbadanan Labuan.
Lawatan selama dua hari bermula pada Isnin itu diketuai oleh Timbalan Pengarah Kementerian itu, Chea Kok Hong yang diselaraskan oleh My Iskandar Sdn. Bhd yang juga merupakan cabang pelaburan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
Ketibaan delegasi ke Pejabat Perbadanan Labuan disambut oleh Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korparat Perbadanan Labuan, Mahathir Ab. Hamid mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Ab. Hamid.
Turut sama menyambut ketibaan delegasi itu, Ketua Unit Pelaburan Perbadanan Labuan, Zunaidah Hamzah.
Sementara itu, Chea ketika ditemui media berkata, lawatan julang kalinya ke Labuan bertujuan untuk mempelajari tiga bidang ekonomi yuang berpotensi untuk dikembangkan ke zon perindustrian baharu kami di Kemboja.
“Bidang yang kami fokuskan ialah perkhidmatan kewangan, sektor berkaitan minyak dan gas serta eko-pelancongan. Kami berharap kami akan dapat memperoleh pengetahuan teknologi daripada pihak berkuasa tempatan di sini,” katanya.
Selain menerima taklimat pembangunan Perbadanan Labuan, delegasi itu turut menerima taklimat aktiviti daripada Petronas Chemical Methanol yang beropersi di Labuan.
Chea yakin hasil dari lawatan itu pihaknya akan dapat memperkukuhkan lagi kerjasama ekonomi dua hala antara Labuan dan Kemboja.