SUMBANGAN…. Yusop (kiri) menyampaikan perlatanan kelengkapan sekolah kepada salah seorang pelajar sekolah menengah sambil diperhatikan Siti Ayu dan Hifani
LABUAN: Sermai 210 pelajar yang melibatkan sekolah rendah dan menengah menerima kelengkapan persekolahan sumbangan Yayasan PETRONAS sempena Program Back To School yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Jumaat.
Majlis pelancaran dan penyampaian sumbangan itu telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JPNWP), Yusop Mohamad.
Hadir sama, Ketua PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahad dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals Methanol Sdn. Bhd, Haji Hifani Mohd Jalil.
Terdahulu, Hifani ketika berucap pada majlis itu berkata, Yayasan PETRONAS sentiasa komited dalam memartabatkan pendidikan di negara ini dengan menghulurkan sumbangan kelengkapan persekolahan yang telahpun dilaksanakan sejak 10 tahun lalu di seluruh negara.
Program ini katanya, adalah sebahagian daripada usaha pihak PETRONAS untuk membantu pelajar khususnya golongan yang berpendapatan rendah.
“Memahami cabaran yang dihadapi oleh ramai pelajar, Yayasan PETRONAS tampil untuk menyediakan kelengkapan persekolahan bagi meringankan beban keluarga disamping membangkitkan minat untuk terus belajar sehingga ke manara gading” katanya.
Melalui program ini, pelajar berkenaan akan menerima baucar untuk satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut hitam, beg sekolah, dan pakaian sukan.
Selain itu, penerima daripada kalangan pelajar sekolah rendah juga mendapat beg sekolah, pensel warna, dan set alat tulis, manakala pelajar menengah pula turut mendapat kalkulator saintifik.
Untuk tahun ini (2023), seramai 21,000 pelajar di seluruh negara mendapat manfaat daripada program tersebut.