MESRA… Orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat mengambil kesempatan untuk bersalaman dan beramah mesra bersama Hajiji dan Juliah (kiri).
KOTA KINABALU: Lebih 20,000 pengunjung pelbagai kaum memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Tahun 2025.
Majlis yang bermula jam 10 pagi di Sabah International Convention Centre (SICC) itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin, pada Sabtu lalu.
Pada majlis itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang ditemani isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag menyampaikan duit raya kepada 68 orang kelainan upaya (OKU) dan asnaf daripada sembilan buah institusi kebajikan sekitar kawasan pantai barat.
Dalam ucapan ringkasnya, Hajiji mengajak rakyat berbilang kaum menggunakan sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai platform untuk mengeratkan lagi perpaduan dan persefahaman.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M.Yahya, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, serta menteri-menteri kabinet negeri. –Penerangan-



