26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

200 warga pendidik di Labuan jalani ujian pengesahan COVID 19

UJIAN….….salah seorang warga pendidik yang menjalani calitan di hidung bagi pengesahan COVID 19


Labuan: Hampir 200 warga pendidik yang terdiri daripada Pengetua, Guru Besar, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) yang sedang menjalani kuarantin 14 hari menjalani ujian pengesahan COVID-19 yang diadakan di Pusat Ko-Kurikulum Jabatan Pendidikan Labuan, Kampung Ganggarak di sini, pada Khamis.


Ujian kali kedua itu merupakan langkah proaktif Jabatan Kesihatan Labuan yang bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Labuan bagi memastikan semua warga pendidik benar benar bebas daripada jangkitan COVID 19.


Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, kesemua mereka yang menjalani ujian pengesahan itu adalah mereka yang sebelum ini pulang ke Sabah untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang baru lalu dan kembali semula ke Labuan telahpun menjalani ujian saringan dan kuarantin 14 hari.


“Namun bagi memastikan mereka benar-benar bebas dari COVOD 19, adalah menjadi keperluan untuk menjalani ujian pengesahan COVOD 19 sekali lagi” katanya ketika bercakap kepada media di sini, pada Khamis.


Terdahulu sebelum itu beliau bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Khaziyati Osman telah mengadakan pemantauan terhadap guru-guru dan kakitangan jabatan Pendidikan yang menjalani Ujian Pengesahan COVID 19 di pusat tersebut.
Hadir sama, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Wilayah Persekutuan Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah.


Sementara itu dalam perkembangan yang berkaitan, Khaziyati berkata, sehingga hari ini bilangan kehadiran pelajar masih rendah iaitu kira-kira 46 peratus manakala bagi kehadiran guru hanya 50 peratus disebabkan ramai lagi guru yang sedang menjalani kuarantin selama 14 hari.


“Proses pengajaran dan pembelajaran masih lagi berjalan seperti biasa dan pihak sekolah akan menyediakan latihan-latihan kepada pelajar yang tidak hadir ke sekolah menerusi atas talian kerana kegusaran ibu bapa terhadap peningkatan kes COVID-19 di Labuan,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN