28.2 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

20 rumah dilanda banjir kilat

PINDAH… Anggota Pertahanan Awam  (APM) turut membantu anggota Bomba dan Penyelamat untuk memindahkan mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Ganggarak semalam.

LABUAN : Hujan  lebat  yang melanda Labuan lebih dua jam pada petang kelmarin menyebabkan  sekurang-kurangnya  20 buah rumah mengalami banjir kilat  di 12 buah kampung.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah (JPDB) Wilayah Persekutuan Labuan Rithuan Ismail,  daripada jumlah itu seramai 10 buah keluarga terpaksa berpindah ke kawasan  selamat.

“Tiga buah keluarga membabitkan 15 penghuni  dari Kampung Ganggarak telah dipindahkan ke Pusat  Penempatan Sementara (PPS), Dewan Balai Bomba Layangan sejak malam tadi, manakala 7 buah keluarga lagi memilih untuk  tinggal sementara bersama keluarga terdekat” katanya ketika ditemui di Pusat Penempatan Sementara  Dewan Balai Bomba Layangan, pagi ini.

Turut berada di pusat itu ialah, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Labuan, Ismaidi Ismail, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Haji Hamir Zahari dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Labuan, Mohd. Dzulfaizal Ab. Manan. 

Sementara itu, Ismaidi yang mengetuai operasi memindah penduduk yang terjejas banjir  kilat  itu berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan dari beberapa kampung sekitar jam 7.30 malam.

“Seramai 79 anggota pelbagai pangkat bersama beberapa jentera telah pun melaksanakan tanggung jawab untuk mengesan dan memindahkan penduduk yang terjejas dengan banjir berkenaan.

“Kita telah berjaya memindahkan seramai 15 penghuni membabitkan 3 buah keluarga dari kampung Ganggarak yang rumah mereka telahpun dinaiki air sedalam hampir satu meter” katanya.
Jelasnya lagi, kesemua mereka telah ditempatkan di Dewan Balai Bomba Layangan yang telah dijadikan sebagai loaksi Pusat Penempatan Sementara  Bencana Banjir.

Selain kerja-kerja memindahkan mangsa, pihaknya juga turut melakukan kerja-kerja pengepaman untuk mengeluarkan air dari beberapa rumah yang dilanda banjir disamping turut membersihkan rumah mangsa yang di tempatkan di PSS.

Sementara itu, Bashir ketika ditemui berkata,  banjir kilat yang melanda semalan adalah berikutan hujan lebat yang agak luar biasa disamping bertembung dengan keadaan air laut pasang besar.

Beliau turut berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan  dan beberapa agensi kerajaan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana seperti Angkatan Pertahahan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PDRM, Perbadanan Labuan, dan Jabatan  Kesihatan yang bertindak segera untuk membantu memindahkan mangsa banjir selain menyediakan  bantuan keperluan mangsa yang dipindahkan. 

“ Dalam waktu yang sama kita menasihatkan warga Labuan  agar berwaspada dan sentiasa menjaga keselamatan diri  akibat peralihan munson  yang membawa hujan lebat” katanya.

Selain itu beliau turut menasihat penduduk kampung supaya tidak membuang sampah merata tempat  sehingga menyebabkan longkang tersumbat  dan kepada pihak  pemaju  Bashir menasihatkan supaya memastikan sistem perparitan yang  berada dalam kawasan pembinaan mereka sentiasa dalam keadaan baik.

Antara kampung yang terjejas dengan banjir kilat semalam ialah Ganggarak, Lajau, Lubok Temiang, Merinding, Kilan, Bukit Kalam, Bebuloh, Sungai Buton, Batu Manikar, Patau-Patau Dua dan Kampung Sungai Lada.

SALAH seorang penduduk Kampung Ganggarak  mendokong anaknya untuk  menyelamatkan diri selepas rumahnya di dilanda banjir.

BANTU…. Bashir (dua kiri) bersama Rithuan (kiri sekali), Ismaidi (dua kanan), dan Haji Hamir (kanan sekali) ketika meninjau dan membantu mangsa banjir di PPS Dewan Balai Bomba Layang pagi ini.

PINDAH… Anggota Pertahanan Awam  (APM) turut membantu anggota Bomba dan Penyelamat untuk memindahkan mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Ganggarak semalam.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN