OPERASI… anggota polis bersama kakitangan SESB melakukan operasi pemotongan elektrik salah sebuah premis judi di sekitar Penampang
PENAMPANG: Sebanyak 17 premis dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik hari ini, selepas didapati menjalankan kegiatan judi atas talian di Penampang pagi tadi.
Pemotongan itu dibuat dalam satu operasi oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Operasi tersebut telah diketuai oleh Inspektor Saiful Hairuzi Zainudin dari BSJ Daerah Penampang.

SUPT SAMMY NEWTON
Turut bersama-sama membantu beliau dalam operasi ialah, empat petugas daripada Sabah Electricity (SE) bagi membuat pemotongan bekalan elektrik.
Ketua Polis Penampang Superintendan Sammy Newton, dalam satu kenyataan berkata, tindakan ini merupakan salah satu tindakan serius dan komitmen Polis Penampang dalam membenteras sebarang aktiviti perjudian haram di daerah itu selaras mengikut peruntukan Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Kesemua premis sudah diambil tindakan dalam serbuan yang dijalankan sebelum ini yang mana siasatan sudah dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan telah dihadapkan ke Mahkamah,” tegasnya.