24 C
Kota Kinabalu
Rabu, April 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

145 anak-anak asnaf terima sumbangan dari ICU JPM

Azman (keempat kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil diperhati oleh yang lain-lain

RANAU: Seramai 145 anak-anak asnaf dari SMK Kundasang, Ranau telah menerima sumbangan melalui Program Didik Kasih anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) di sini pada hari Rabu.

Sumbangan berbentuk beg sekolah, voucher dan peralatan pembelajaran itu disampaikan oleh Ketua Pengarah ICU JPM, Dato’ Azman bin Ibrahim.


Para penerima yang terdiri daripada mereka yang berada di Tingkatan 1 dan 2 dan telah berdaftar dalam sistem eKasih berstatus Miskin dan Miskin Tegar, menerima sumbangan itu bagi meringankan beban keluarga mereka.

Azman berkata, Program Didik Kasih ini adalah program Inisiatif Kesejahteraan Rakyat MADANI (IKRaM), di bawah kelolaan ICU JPM dan merupakan salah satu program Corporate Social Responsibility (CSR) di bawah inisiatif ICU JPM yang dilaksanakan dengan rakan strategik.


”Kesempatan bertemu dengan guru-guru dan anak–anak pelajar di sekolah ini merupakan peluang terbaik bagi saya. Walaupun sumbangan yang kami sampaikan pada hari ini tidak seberapa, namun kebersamaan dan ikatan ukhwah yang dijalinkan adalah momen yang sukar untuk dilupakan.


”Saya ingin memaklumkan, Kerajaan Persekutuan sentiasa memastikan golongan kurang berkemampuan tidak terabai dan berpeluang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan semua orang.


”Pelbagai bentuk bantuan dan pembiayaan yang ditawarkan oleh kerajaan untuk pelajar-pelajar yang berkelayakan,” kata beliau.


Azman menggesa agar para pelajar menggunakan peluang ini dengan baik untuk melanjutkan pelajaran ke fasa yang lebih tinggi, kerana sejarah telah membuktikan bahawa pelajaran mampu membantu meningkatkan taraf kehidupan keluarga yang lebih baik.


”Baru-baru ini, kita baru sahaja melihat keputusan peperiksaan SPM 2023.


”Walaupun keputusan SPM pada tahun 2023 lebih baik daripada keputusan SPM 2022, laporan analisis SPM 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada 27 Mei 2024 sangat membimbangkan.


”Ini kerana, seramai 10,160 pelajar tidak menghadiri peperiksaan untuk kesemua mata pelajaran dan 1,467 pelajar yang mendapat keputusan gred G untuk semua matapelajaran,” katanya.


Menurut beliau, fakta ini sangat membimbangkan kerana pelajar yang membesar di zaman teknologi yang mencabar tidak seharusnya mengambil remeh berkenaan pelajaran.


Justeru, beliau berharap saya agar anak-anak sekolah di sini menjadi anak-anak yang berwawasan tinggi, mempunyai cita-cita yang hebat dan sentiasa menjadi pelajar yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara.


”Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan pelajaran anak-anak tidak terabai dan mereka menjadi pelapis masa hadapan yang berkaliber dan berkualiti,” kata beliau.


Beliau juga berharap agar program-program seperti ini dapat membawa impak yang positif kepada semua pelajar dan dapat diadakan di lebih banyak sekolah di seluruh negeri Sabah.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di atas penganjuran program Didik Kasih SMK Kundasang terutama sekali kepada barisan urusetia yang telah membantu menjayakan program dan juga kepada para penyumbang program ini sama ada dalam bentuk wang tunai atau pun peralatan sekolah.


Program Didik Kasih tersebut bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya kategori miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam Sistem eKasih.

Program IKRaM kali ini melalui platform Program Didik Kasih MADANI (dKasih) adalah dengan penyerahan sumbangan berupa barangan keperluan persekolahan dan sesi ‘knowledge sharing’ yang disampaikan oleh Azman sendiri.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Samsul bin Dollah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sentiasa menyokong usaha ICU JPM melalui bermacam-macam program.

“Agensi-agensi yang mempunyai kelebihan dan kemampuan boleh membantu golongan sasar melalui pelbagai program berbentuk bantuan secara langsung seperti program motivasi, peningkatan pendapatan, padanan pekerjaan, latihan kemahiran dan lain-lain lagi.

“Ucapan terima kasih juga kepada SMK Kundasang kerana sudi menjadi tuan rumah serta memberikan kerjasama yang erat sehingga terlaksana program ini.

“Semoga dengan penganjuran program seperti ini dapat membantu para pelajar meraih keputusan yang cemerlang pada peperiksaan yang bakal mereka hadapi,” katanya.

Pengetua SMK Kundasang, Jollity Bollah amat berbesar hati kerana sekolah beliau terpilih untuk diadakan program ini.

Turut hadir di majlis itu, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil ICU JPM Datin Rosmawati binti Hassan, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, merangkap urusetia Program Didik Kasih SMK Kundasang Samsul bin Dollah, Ketua Penolong Pengarah JPN Sabah Fazliah binti Abd Rahman, Timbalan Sektor Pembangunan Murid PPD Ranau Sandy Kariki @ Gerald, Pengarah PTPTN Negeri Sabah Muliati binti Kamaruddin, Pengetua SMK Kundasang Jollity Bollah, Penolong Pegawai Sektor Pembangunan Murid PPD Ranau Noonja Keh, Penolong Pegawai Sektor Pembangunan Murid PPD Ranau, Suraini binti Mohd Talip, guru-guru dan para pelajar SMK Kundasang, guru-guru dan para pelajar SMK Kundasang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN