YUSOF menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar diperhatikan Mohd Nizam.
LABUAN: Majlis Graduasi Pusat Tingkatan Enam (PTE) SMK Labuan 2023 telah berlangsung mengikut protokol dan adat-istiadat konvokesyen bagi meraikan 140 orang pelajar STPM Kohort 2021/2022.
Majlis yang bertemakan Graduan Beradab Lagi Berintegriti Inspirasi Insan Madani itu dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Mohammad di Palm Beach Resort & SPA, Sabtu lalu.
Yusup dalam ucapannya berpesan kepada semua bakal graduan agar melengkapkan diri dalam penguasaan kepelbagaian kemahiran seperti kemahiran insaniah, kemahiran teknologi maklumat, berkomunikasi.
Katanya, sesungguhnya mencari ilmu bukan sahaja mencari kesabaran dan kesungguhan, malah pengorbanan juga.
Yusup berkata tahun 2023 ini dijangka akan menjadi tahun yang penuh dengan cabaran kepada kita.
Beliau mengharapkan warga pendidik akan terus mengutamakan pelajar dengan penuh profesional dan berintegriti.
Katanya, konsep Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC) merupakan satu lagi usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diinpirasikan oleh Ketua Pengarah KPM, Dato Pkharuddin Ghazali.
“Slogan ini memfokuskan kepada kaedah untuk melahirkan pelajar yang cerdik tetapi mempunyai sahsiah diri yang baik.
“Konsep ABC ini selari dengan tujuh teras utama yang menjadi tunjang KPM iaitu aspek Karamah Insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti dalam diri seseorang pelajar,”tambahnya.
Pelbagai program dilaksanakan oleh KPM bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dan komuniti dengan sekolah dalam pembelajaran para pelajar.
Selain itu, Yusup turut meniupkan semangat dan nasihat kepada semua graduan STPM Kohort 2021/2022 jika dahulu manusia adalah aset utama dalam semua sektor pekerjaan, namun arus Revolusi Indusrti 4.0 (IR4.0) menyebabkan banyak pengecilan tenaga kerja dilakukan sama ada dikurangkan atau dimansuhkan.
Sehubungan dengan itu, para graduan perlu bersedia memandang jauh ke depan bagi menghadapi cabaran pekerjaan dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku.
Sementara itu, Pengetua SMK Labuan, Mohd Nizam Yasim memanjatkan rasa kesyukuran atas pelaksanaan majlis seumpama ini
Katanya, majlis tersebut telah berlangsung dengan jayanya atas kehadiran Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan yang menyuntik semangat semua pensyarah dan para graduan untuk terus cemerlang.
Mohd Nizam merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada AJK Pelaksana Majlis Graduasi 2023 yang terdiri daripada pensyarah dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Turut hadir Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Labuan, Yahya Ahmad Puteh dan Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Labuan, Yusof Chuchu.
Hadir sama Pegawai Meja Pusat Tingkatan 6, Norhayati Yahya. Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam, SMK Labuan, Saminan Sabtu dan 34 orang pensyarah.
Pada majlis itu, Melvin Ng Zhen Hong dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Aliran Sains dengan mendapat PNGK 2.42 manakala Pelajar Terbaik Aliran Kemanusian dikongsi bersama oleh Nur Faatin Yuslianah Awang Damit @ Yunus dan Nurul Syazwani Ismadi dengan PNGK masing-masing mencatatkan PNGK 3.92 dan PNGK 3.84 sekaligus kedua-duanya dinobatkan sebagai Anugerah Terbaik Akademik Keseluruhan PTE SMK Labuan Tahun 2021/2022.
Anugerah lain yang disampaikan ialah Anugerah Khas Kepimpinan yang diterima Muhd Amsyar Dzulqarnain Amirullah dan Nelsey Angeline Josley, Anugerah Sahsiah Terbaik (Mohammad Aiman Hakim Kamarul), Anugerah
Pelajar Aktif (Hani Syafika Abd Halim), Anugerah Pencapaian Kebangsaan (Muhd Amsyar Dzulqarnain Amirullah, Mohd Ansarullah Sabarudin, Dg. Ameera Aisyah Mastapah, Nur Athikah Hamdan).