Anggota PDRM Ranau menyerbu rumah yang dihuni oleh pendatang asing di sebuah kampung di sin
RANAU: Satu Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ) yang diketuai oleh tiga orang Pegawai Kanan Polis IPD Ranau telah dijalankan di sini baru-baru ini.
Operasi kali ini adalah mensasarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di daerah Ranau.
Operasi telah dijalankan di lokasi sekitar Kampung Waang, Ranau dengan dibantu oleh Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) Daerah Ranau, Jabatan Imigresen Daerah Ranau dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Ranau.
Dalam operasi tersebut, seramai tujuh orang lelaki dan tujuh orang wanita telah berjaya ditahan dan dibawa ke IPD Ranau bagi tujuan saringan dokumentasi oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen kerana gagal menunjukkan dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Saringan dokumentasi telah dibuat dan mendapati empat orang warga Filipina (tiga lelaki, seorang wanita) telah ditahan di lokap Balai Polis Ranau kerana gagal dalam saringan dokumentasi.
Semua tahanan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ranau bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 6 ( 1 ) ( c ) Akta Imigresen 1959/63.
Operasi ini akan berterusan pada masa akan datang.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada Balai Polis berhampiran atau melalui Medium Media Sosial seperti Facebook Rasmi Polis Daerah Ranau ini, dalam usaha untuk membenteras jenayah, PATI, dadah dan gejala sosial negatif di Daerah Ranau.
Sementara itu, dalam satu operasi berasingan yang dijalankan terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ranau telah membuat pemeriksaan dan serbuan dalam satu “Operasi Tapis” bertempat di sebuah rumah tanpa nombor Kg. Kundasang Lama, Kundasang, Ranau, Sabah.
Semasa serbuan, pengadu dan anggota serbuan telah menahan seorang lelaki tempatan (suspek) di sebuah bilik di bahagian bawah rumah tersebut.
Kemudian dengan disaksikan oleh suspek, pengadu dan anggota serbuan telah membuat pemeriksaan di dalam rumah tersebut dan menjumpai sebuah kotak kertas warna coklat yang mengandungi tiga bungkusan yang disyaki mengandungi serbuk daun ketum dan sebuah botol mineral 1.5 liter jenama Nabalu mengandungi cecair disyaki rebusan ketum.
Turut dirampas ialah lapan plastik lutsinar disyaki bekas bungkusan serbuk ketum yang telah digunakan.
Pada masa yang sama, semua ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya sentiasa cakna dengan aktiviti anak-anak yang masih muda khasnya remaja yang masih bersekolah supaya tidak terjerumus ke dalam kancah jenayah dan penyalahgunaan dadah dan ketum serta kegiatan yang boleh mencemarkan nama baik keluarga, bangsa dan negara.