12 peserta kursus bergambar selepas menerima sijil
RANAU : Seramai 12 orang peserta yang telah menamatkan Kursus Memproses Baja Kompos Siri 2 baru-baru ini bertekad untuk mempraktikan ilmu yang telah mereka pelajari. Kursus tersebut berlangsung selama sehari di Pusat Pemprosesan Kompos Tosonong yang dianjurkan oleh Hasil Pemprosesan Organik (HPO) Enterprise, Kampung Marakau.
Menurut Penyelaras Kursus, Aslinah Sahalim, sepanjang kursus para peserta telah mengikuti taklimat tentang HPO, teori memproses baja kompos dan praktikal iaitu cara-cara memproses baja oleh penceramah dan pengasas HPO, Razipin Gutuk.
Salah seorang peserta dari Kampung Marungin, Simon Kaara menyifatkan kursus pada kali ini baginya akan mempermudahkan lagi pengetahuan sedia ada tentang penyediaan dan memproses baja kompos. Selama ini katanya, dia sudah mempraktikkannya di kawasan sawah padi dengan menggunakan bahan-bahan terbuang seperti jerami, rumput dan hampas padi. Walaupun belum mengikuti kursus pada masa itu, saya sering menghubungi HPO untuk memohon tunjuk ajar katanya.

Simon menyiram bahan kompos sambil diperhatikan oleh Razipin (tengah )
Seorang lagi peserta dari Kampung Randagong, Zulhimat Taib menyatakan perkongsian tentang penyediaan bahan bagi pembuatan baja kompos sangat memberikan manfaat kepada mereka. Zulhimat sebelum ini tidak tahu bagaimana membuat baja sendiri dan lebih banyak bergantung kepada baja kimia yang dibeli kedai. Dengan pengetahuan ini saya kini boleh berjimat dan akan mula mencari atau mengumpul bahan-bahan terbuang seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya untuk diproses katanya.
Katanya lagi, semasa kursus para peserta telah memparktikkan sendiri cara-cara mencampurkan bahan kompos iaitu daripada kulit buah durian, reputan kayu dan Em4 termasuklah penggunaan cacing Afrika dan ulat bumi sebagai pengurai dan baja.
Namun katanya, cacing atau ulat bumi yang bertindak mempercepatkan proses penguraian bukanlah sesuatu yang wajib. Tanpa benda hidup ini bahan kompos akan terurai dengan sendirinya hanya memakan masa yang agak lama sedikit katanya.
Kursus diakhiri dengan majlis penyampaian sijil kepada para peserta yang telah disampaikan oleh Razipin. Razipin merakamkan ucapan terimakasih kepada semua peserta kerana telah bersama-sama menjayakan program tersebut dan sentiasa mematuhi SOP yang disediakan.