Dr. Joachim (dua, kanan) menerima roti Creamos Bun dari Dexter Lau (empat, kiri) Di Pejabat ADUN N.36 Kundasang, Ranau semalam.
RANAU: Sebuah syarikat pengeluar makanan telah menyumbangkan 10,000 buku roti untuk diagihkan kepada lebih 100 buah kampung dan 26 buah sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang.
Roti itu adalah sumbangan syarikat Pengeluaran makanan, Kim Teck Cheong yang bertujuan membantu rakyat terutama yang tinggal di luar bandar lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan yang mengehadkan pergerakan penduduk.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, pihaknya mengalu-alukan apa juga juga bentuk sumbangan yang boleh disalurkan demi menjaga kebajikan dan keperluan rakyat di negeri ini.
Katanya, sumbangan dan bantuan itu walau dalam bentuk apa sekali pun tetap dapat membantu rakyat.
Roti itu katanya, akan diedarkan kepada murid sekolah, penduduk kampung yang akan dilaksanakan oleh Pegawai Pemimpin Masyarakat (UPPM) kawasan Kundasang.
“Pihak UPPM akan membuat edaran roti bermula hari ini,” kata Dr. Joachim yang ditemui selepas membuat tinjauan tanah runtuh di tempat letak kereta Taman Negara Gunung Kinabalu di jalan Tamparuli-Ranau.
Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berharap sumbangan seumpama Ini akan memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Dexter Lau, berkata, sumbangan seumpama Ini telah pun dilaksanakan di 14 daerah di negeri ini.
Setakat ini katanya, pihak mereka sudah mengedarkan sebanyak 350,000 buku roti.
“Program seumpama Ini merupakan sebahagian dari usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dan kami juga ingin memperkenalkan produk makanan Creamos Bun,” katanya.
Pada majlis simbolik penyerahan sumbangan itu, sebanyak 38 beg plastik berisi roti diserahkan kepada Dr. Joachim di Pejabat ADUN Kundasang, Ranau kelmarin.