Abidin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima
RANAU: Seramai 100 orang belia yang terdiri daripada para usahawan muda luar bandar dari sekitar DUN Paginatan menerima bantuan keusahawanan berjumlah RM500 seorang di sini baru-baru ini.
Bantuan yang diagihkan melalui Program Outreach YAB Ketua Menteri Bersama NGO & Usahawan Muda Sabah itu disampaikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Abidin Madingkir.
Program ini menyasarkan para peniaga muda yang tidak memiliki dokumen rasmi perniagaan untuk mendapatkan bantuan kerajaan sama ada mengembangkan perniagaan atau memulakannya.
Dalam ucapannya, Abidin berkata, program ini adalah program yang julung kali diadakan oleh kerajaan untuk belia dan tidak pernah dibuat sebelum ini, justeru mereka yang hadir dalam program ini begitu betuah.
“Hari ini kerajaan negeri telah menetapkan untuk membantu usahawan-usahawan muda yang sememangnya mempunyai prospek yang tinggi untuk berjaya di dalam bidang yang mereka ceburi.
“Ada di kalangan belia yang sudah memulakan perusahaan perniagaan mereka, malah ada juga yang baru bercita-cita memulakan sesuatu idea yang mereka minati, dan semoga sumbangan yang diberikan melalui program ini dapat membantu mencapai impian mereka, bermula dari kecil-kecilan,” kata beliau.
Abidin menambah, sumbangan yang diberikan ini menunjukkan bahawa Kerajaan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) prihatin terhadap golongan belia dan ini merupakan suatu pengiktirafan kepada Golongan muda pada hari ini.
Beliau yang juga merupakan Adun N.38 Paginatan berharap agar semua penerima pada majlis itu menggunakan sumbangan tersebut dengan baik.
“Jangan sia-siakan sumbangan yang diberikan, sebaliknya belajarlah untuk menghargai setiap pendapatan yang diperolehi kerana sikap sedemikian juga merupakan salah satu ciri-ciri Usahawan yang berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Abidin turut menyeru kepada semua belia di sini agar terus memberikan sokongan mereka kepada kerajaan GRS yang sedia ada kerana pencapaiannya yang cemerlang setakat ini.
Menurutnya, kestablian dari segi politik di Sabah di bawah kerajaan GRS telah mampu meyakinkan para pelabur antarabangsa untuk datang melabur dengan membina kilang-kilang besar di negeri ini.
“Kemajuan sebegini membolehkan Negeri Sabah memperolehi pendapatan yang lumayan, sekaligus memberikannya kemampuan uantuk mentadbir negeri ini dengan lebih baik melalui agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.
“Berkat peningkatan ekonomi tersebut juga membolehkan program-program seumpama yang diadakan hari ini dapat diadakan.
“Justeru saya mengajak para golongan belia agar terus menyokong kerajaan GRS supaya kita dapat merealisasikan pula agenda SMJ 2.0 di masa akan datang,” katanya.
Abidin menzahirkan rasa keterujaannya kerana dapat meluangkan masa bersama para belia dalam majlis itu, dan berterima kasih kepada semua belia di daerah ini, khususnya yang berkesempatan hadir dalam acara tersebut.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan terimakasih kepada YAB Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Hj Noor serta pihak penganjur atas inisiatif menganjurkan program itu, dan berharap agar program seumpama itu akan terus diadakan pada masa yang akan datang.

Abidin (tengah) dan lain-lain menunjukkan isyarat bagus terhadap program yang dijalankan itu
Turut hadir sama Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Azrul Ibrahim, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.38 Paginatan, Hisyamudin Harun, Kakitangan UPPM Paginatan dan lain-lain.



