James Ratib
KOTA KINABALU: Lebih RM8.5 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) bagi menyediakan Skim Bantuan Kesihatan SMJ “Sabah Sejahtera”.
Menteri KPMKR, Datuk James Ratib berkata, usaha tersebut termasuklah inisiatif terbaharu yang melibatkan bekalan 100 mesin hemodialisis di klinik dan hospital terpilih seluruh negeri.
Katanya, peruntukan yang disediakan untuk skim ini termasuk kategori kos rawatan berjumlah RM4,024,880 dan kos Mesin Hemodialisis sebanyak RM4,500,000, di mana jumlah keseluruhan ialah RM8,524,880.
“Usaha hebat ini juga dijalankan sebagai solusi jangka pendek bagi meringankan beban pesakit dan pemberi perkhidmatan selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.
“Kerajaan memahami dan prihatin terhadap penderitaan pesakit END-STAGE RENAL FAILURE (ESRF)yang tidakmendapatkan rawatan kerana kos rawatan yang tinggi.
“Justeru fasa pertama skim ini ditumpukan kepada pesakit dan perkhidmatan hemodialisis bagi seramai 1,385 pesakit di klinik dan 797 pesakit yang menjalani rawatan kendiri di rumah,” kata beliau.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa sidang media berkenaan kelulusan 100 mesin dialisis dan pesakit buah pinggang mendapat rawatan dialisis percuma untuk rakyat Sabah.
Majlis tersebut diadakan di VIP 1, Tingkat 2, Hilton Hotel, Kota Kinabalu pada hari Selasa lepas.
Menurut beliau lagi, antara lain jenis bantuan yang disediakan melalui skim itu termasuklah caj rawatan di klinik dan hospital serta rawatan kendiri di rumah (CAPD), yuran pendaftaran (RM1), caj rawatan (RM13), caj pusat dialysate (RM100) dan yuran pakar (RM5).
James menambah, pelaksanaan skim ini akan memastikan kesejahteraan masyarakat dengan meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan kualiti hidup pesakit ESRF.
“Pelaksanaan skim ini adalah selaras dan memenuhi Teras Ke-2 Sabah Maju Jaya, iaitu ‘Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat Sabah,” jelas beliau.
Mesin-mesin baharu akan diagihkan ke Hospital Queen Elizabeth, Hospital Queen Elizabeth II, Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak KK, Hospital Tuaran, Hospital Papar, Hospital Ranau, Hospital Kota Belud, Hospital Tawau, Hospital Semporna, Hospital Kunak, Hospital Lahad Datu, Klinik Kesihatan Tungku, Lahad Datu, Hospital Duchess Of Kent Sandakan, Hospital Kinabatangan, Hospital Beluran, Hospital Keningau, Klinik Kesihatan Nabawan, Hospital Tenom, Hospital Tambunan, Hospital Beaufort, Hospital Kuala Penyu, Hospital Sipitang, Hospital Kudat, Hospital Kota Marudu, dan Hospital Pitas.



