Mereka yang hadir di tugu peringatan memberi penghormatan kepada mereka yang kehilangan nyawa dalam gempa bumi 2015
KUNDASANG: Peristiwa gempa bumi 6 skala richter yang melanda daerah Ranau pada tahun 2015 bukan sahaja menjadi satu tragedi yang akan dikenang selamanya, tapi ia juga menjadi titk tolak kepada banyak pembaharuan dari pelbagai sudut di daerahn ini.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (LPATTS), Peter Lintar berkata, sedekad telah berlalu sejak peristiwa yang mengorbankan 18 nyawa itu, namun di sebalik kesedihan, hari ini merupakan satu sinar baharu dalam kehidupan semua yang terlubat dalam peristiwa tersebut.
“Hari ini, kita berkumpul di sini untuk memperingati ulang tahun ke-10 Tragedi Gempa Gunung Kinabalu. Ia adalah hari refleksi, kenangan, dan kekuatan bagi kita semua.
“Gunung Kinabalu yang gagah, telah menjadi saksi kepada sebuah tragedi yang meragut 18 nyawa insan tersayang.
‘Parutnya kekal mendalam di hati keluarga, rakan-rakan, seluruh rakyat Malaysia – khususnya masyarakat Sabah – dan komuniti antarabangsa yang turut terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam upacara memperingati Ulang Tahun ke 10 Tragedi Gempa Bumi Gunung Kinabalu yang diadakan di Kiau Gap View, Timpohon Gate, Taman Kinabalu pada hari Khamis.
“Kita mengenang jiwa-jiwa terkorban – pendaki, malim gunung, dan anak-anak muda yang penuh semangat. Mereka pergi terlalu awal, di tempat yang sepatutnya menjadi lambang keindahan ciptaan Tuhan.
“Kepada keluarga yang kehilangan, kami memahami bahawa kesedihan ini tidak pernah benar-benar hilang.
“Sepuluh tahun mungkin mengubati luka fizikal, tetapi kerinduan terhadap insan tersayang kekal abadi. Terima kasih atas kekuatan dan ketabahan yang ditunjukkan selama ini,” katanya.
Peter juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para malim gunung, porter, anggota penyelamat, sukarelawan, dan penduduk setempat.
“Keberanian dan pengorbanan anda adalah sumber inspirasi yang tidak ternilai. Jasamu sentiasa dikenang dan dihargai,” katanya.
Tambah beliau tragedi ini mengajar semua pihak erti kerendahan hati di hadapan kekuasaan alam.
Ia juga menyedarkan kita tentang kepentingan ketersediaan, keselamatan pendakian, serta sistem amaran awal yang efisien.
Katanya, sepanjang dekad ini, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan dan diperkukuh termasuk kewujudan MoSAR, latihan simulasi penyelamatan, SOP penyelamatan yang lebih komprehensif, peningkatan latihan dan penilaian terhadap malim gunung, penambahbaikan protokol kecemasan, serta usaha berterusan dalam mempertingkatkan kesedaran awam.
“Kepada keluarga mangsa, anda tidak pernah keseorangan. Kenangan terhadap insan tersayang kekal hidup dalam doa dan amal kita semua.
“Untuk makluman, kita tidak akan teruskan upacara seumpama ini disini untuk tahun-tahun mendatang, namun kita akan memberi peluang kepada ahli keluarga mangsa untuk melakukan ziarahi atau upacara takafur di kawasan ini,” katanya.
Tambah beliau, pada tahun ini, sempena 10 tahun peristiwa gempa yang telah berlaku pada 5 Jun 2015, acara memperingati peristiwa gempa juga diadakan di Pekan Kundasang dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk komuniti persekitaran pekan Kundasang.
Program ini dianjur bersama oleh Kinabalu UNESCO Global Geopark, Pejabat Daerah Ranau dan Mesilau Volunteer (MeVoc).
“Saya berharap program memperingati gempa ini dapat diteruskan di masa akan datang bagi memastikan komuniti yang terlibat akan terus dapat diterapkan kesedaran, keselamatan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang bentuk bencana termasuk gempa bumi,” jelas beliau.
Turut hadir, Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr. Maklarin Bin Lakim Ketibaan, Ahli-ahli LPATTS, Ketua-ketua Jabatan, ahli keluarga mangsa dan komuniti sekitar.



