SANITASI…Anggota dari Unit HAZMAT melakukan kerja-kerja sanitasi dalam kelas sekolah
LABUAN: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengambil inisiatif menyelaras program sanitasi di semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan menjelang pembukaan sekolah pada 20 Januari ini.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbadanan Labuan, Jabatan Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan PDRM telah dilaksanakan selama lima hari bermula pada mulai 15 Januari lalu.
Kerjasama bersepadu ini telah diselaraskan oleh Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan WP.Labuan.

ANGGOTA … yang terlibat dalam prohram sanitasi membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbadanan Labuan, Jabatan Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam dan PDRM
Menurut penyelaras program, Ahmad Firdaus Lee Abdullah, sebanyak 10 buah sekolah menengah telah disanitasi termasuk Kolej Vokasional Labuan.
“Program ini bertujuan memastikan tahap kebersihan dan keselamatan premis dan bangunan sekolah berada di tahap terbaik menjelang pembukaan sekolah untuk murid-murid Tingkatan 5 dan Tingkatan 6,”katanya.
Pasukan sanitasi diterajui oleh Unit HAZMAT, Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba, Azlan Talin.
Menurut Azlan, Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan pandemik COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya.
Sebelum memulakan kerja-kerja sanitasi, beliau turut membuat taklimat ringkas berkaitan sanitasi kendiri yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa oleh mana-mana organisasi.
“Kita semua mempunyai tanggungjawab bagi memastikan COVID-19 tidak menular dalam masyarakat,”ujar beliau lagi.
Pengetua SMK Labuan yang juga Yang DiPertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Labuan, Ismail Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat membantu sekolah dalam kerja-kerja sanitasi kali ini.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 6 blok bilik darjah, bilik guru, bilik mesyuarat, makmal, dewan serta kemudahan-kemudahan lain telah disanitasi dalam program yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi pada Sabtu lalu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Khaziyati Osman turut melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama padu pelbagai pihak dalam membantu pihak jabatan melaksanakan kerja-kerja sanitasi di sekolah kali ini.
“Apapun yang kita lakukan adalah sebenarnya demi kepentingan murid-murid di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kita juga mahu ibu bapa yakin dan percaya bahawa kita telah mengambil langkah-langkah perlu dan proaktif demi menjaga keselamatan anak-anak mereka apabila sekolah mulai beroperasi nanti.
“Keselamatan dan kesihatan semua murid dan guru adalah keutamaan jabatan dan tidak boleh dikompromi dalam situasi pandemik COVID-19,”tambah beliau lagi.
Tamat.