Bashir (empat dari kanan) secara simbolik merasmikan Kempen BeST Mega peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
𝐋𝐀𝐁𝐔𝐀𝐍:𝐓𝐚𝐧𝐠𝐠𝐮𝐧𝐠𝐣𝐚𝐰𝐚𝐛 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐠𝐚 𝐝𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐮𝐫𝐮𝐬 𝐤𝐞𝐛𝐞𝐫𝐬𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐝𝐢 𝐤𝐞𝐰𝐚𝐣𝐢𝐛𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐚𝐦𝐚 𝐬𝐞𝐭𝐢𝐚𝐩 𝐢𝐧𝐝𝐢𝐯𝐢𝐝𝐮 𝐝𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐡𝐚𝐫𝐮𝐬𝐧𝐲𝐚 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐝𝐢𝐥𝐞𝐭𝐚𝐤𝐤𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐧𝐠𝐠𝐮𝐧𝐠𝐣𝐚𝐰𝐚𝐛 𝐢𝐭𝐮 𝐬𝐞𝐩𝐞𝐧𝐮𝐡𝐧𝐲𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐏𝐢𝐡𝐚𝐤 𝐁𝐞𝐫𝐤𝐮𝐚𝐬𝐚 𝐓𝐞𝐦𝐩𝐚𝐭𝐚𝐧 (𝐏𝐁𝐓) 𝐬𝐚𝐦𝐚𝐭𝐚 𝐦𝐚𝐭𝐚.
Demikian kata Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias ketika berucap merasmikan Kempen Bersih Semua Tempat (BeST) peringkat Labuan di Marina Awam dekat sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, kebersihan juga adalah asas kemajuan sesebuah wilayah yang mencerminkan tahab peradaban budaya dan kesihatan masyarakatnya.
“Jangan lah kita menyerahkan urusan kebersihan sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan, sebaliknya ia adalah milik bersama dan jika setiap kita sentiasa membudayakan persekitaran yang bersih, maka seluruh Labuan akan menjadi syurga yang selesa dihuni”, katanya.
Bashir berkata, pihak berkuasa tempatan (Perbadanan Labuan) akan terus memperkukuhkan budaya kebersihan, Kelestarian alam sekitar dan bandar yang sejahtera melalui pelbagai program termasuk penganjuran Kempen BeST Mega 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
“Labuan sebagai hab kewangan dan pelancongan perlulah sentiasa berada dalam keadaan yang bersih, indah dan ceria”, katanya.
Dalam pada itu beliau menjelaskan Labuan mempunyai purata 150 tan sisa pepejal setiap hari meliputi sisa domestik, komersial dan sisa daripada pembersihan awam dan taman.
Keadaan ini sekaligus memerlukan pengurusan sisa yang sistematik bagi menjamin kelestarian alam sekitar serta memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada.
“Kecekapan mengurus sisa bukan sahaja penting untuk alam sekitar tetapi juga kepada kesejahteraan bandar dan komuniti”, katanya.



