Hannah dan Suhaili bersama pemain industri yang hadir menyertai sesi libat urus di Wisma Perbadanan Labuan, pada Ahad.
𝐋𝐀𝐁𝐔𝐀𝐍: 𝐊𝐞𝐫𝐚𝐣𝐚𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐩𝐚𝐝𝐮𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮 𝐦𝐞𝐧𝐮𝐛𝐮𝐡𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐚𝐬𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐭𝐮𝐠𝐚𝐬 𝐈𝐧𝐝𝐮𝐬𝐭𝐫𝐢 𝐋𝐚𝐛𝐮𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐦𝐞𝐧𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧𝐢 𝐢𝐬𝐮 𝐝𝐚𝐧 𝐦𝐚𝐬𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐝𝐢 𝐜𝐚𝐛𝐚𝐫𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐦𝐚𝐢𝐧 𝐢𝐧𝐝𝐮𝐬𝐭𝐫𝐢 𝐭𝐞𝐦𝐩𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐝𝐢 𝐩𝐮𝐥𝐚𝐮 𝐢𝐧𝐢.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata keputusan dicapai selepas beliau mempengerusikan sesi libat urus bersama pemain industri Labuan yang diadakan di Wisma Perbadanan Labuan, Ahad lalu.
Hadir sama dalam sesi libat urus itu
timbalannya Datuk Lo Su Fui, Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman, pegawai tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Perbadanan Labuan serta ketua jabatan dan agensi kerajaan.
Beliau berkata sesi libat urus itu bertujuan memberi ruang kepada pemain industri menyuarakan cabaran operasi semasa serta keperluan utama industri di lapangan, selain mengiktiraf peranan pemain industri untuk memastikan ekonomi Labuan terus berfungsi.
“Kerajaan MADANI menghargai ketahanan dan komitmen pemain industri dalam mengekalkan operasi serta peluang pekerjaan di Labuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Hannah, pasukan petugas itu akan dipengerusikan oleh Timbalannya, Datuk Lo Su Fui dan Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh.
Pasukan itu turut dianggotai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Farah Adura Hamididan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) JWP Datuk Parang Abai @ Thomas.
Turut dipilih untuk menggotai pasukan itu ialah wakil daripada Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta Jabatan Bekalan Air.
Hannah berkata pasukan itu juga akan bekerjasama rapat dengan Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong bagi penyelarasan dasar berkaitan dan diberikan tempoh tiga bulan untuk mengemukakan cadangan penyelesaian, khususnya melibatkan penyelarasan antara agensi kerajaan.
Beliau berkata keutamaan Kerajaan MADANI adalah memastikan pemain industri sedia ada kekal dan terus berkembang di Labuan, dengan tumpuan turut diberikan kepada isu asas seperti bekalan air dan elektrik bagi menyokong pertumbuhan industri.
Jelasnya lagi, kerajaan MADANI akan bekerjasama rapat dengan pemain industri bagi memastikan pembangunan Labuan terus mampan dan berdaya saing.



