Joachim (tengah) menerima cendera hati daripada Rosmadi (empat kanan).
KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) telah mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) Sabah, di Bilik Mesyuarat Lamag, KKRU, hari ini.
Kunjungan diadakan sebagai platform pengenalan rasmi serta memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Selain itu, kunjungan tersebut juga bertujuan menyelaras hala tuju serta pelaksanaan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, khususnya yang melibatkan aspek infrastruktur dan utiliti, agar penyampaian dasar serta perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berimpak tinggi.
Pada sesi perbincangan, Joachim Gunsalam turut berkongsi pandangan serta input kepada pihak Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) berhubung keadaan semasa infrastruktur jalan raya, bekalan air, sistem pembentungan dan bekalan elektrik di Sabah.
Ini termasuklah cabaran pelaksanaan serta keperluan penambahbaikan secara berperingkat bagi memastikan kebolehpercayaan perkhidmatan kepada rakyat.
Joachim turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rombongan Sekretariat SMJ atas kunjungan tersebut.
Beliau seterusnya menzahirkan harapan agar pelaksanaan serta hala tuju SMJ 2.0 akan menjadi lebih mantap, berkesan dan lebih baik demi manfaat rakyat dan pembangunan Sabah secara keseluruhan.
Sekretariat SMJ diketuai oleh Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk Haji Datu Rosmadi Datu Sulai, bersama Ketua Pegawai Operasi Sekretariat SMJ, Datuk Ramlee bin Kariah, serta pegawai-pegawai Sekretariat SMJ.



