Datuk James (kiri) menerima cendermata disampaikan Jais
KOTA KINABALU: Para pesakit autisme kanak-kanak di Pusat Autisme Sabah hanya perlu membayar kurang daripada separuh yuran rawatan mereka.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, yuran dikenakan setiap seorang pesakit berjumlah RM650, tetapi ibu bapa hanya perlu membayar RM300 sahaja kerana Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) menanggung subsidi sebanyak RM350.
“Subsidi ini bertujuan meringankan beban ibu bapa pesakit. Ini juga menunjukan komitmen dan keikhlasan Kerajaan Negeri melalui JPKA di bawah KPMKR untuk mensejahterakan rakyat di bawah Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Untuk tujuan itu, kita juga mengalu-alukan syarikat-syarikat GLC seperti Sabah Maju Jaya Energy (SMJE), Peneraju Tenaga Sabah dalam Industri Minyak dan Gas untuk memberi sumbangan kepada Pusat Autisme di Sabah. Sebagai CSR dari SMJE,” katanya.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Pusat Autisme Sabah (PAUS) yang diadakan dekat sini pada hari Khamis.
Beliau berterimakasih kepada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri dan semua Jawatankuasa terlibat kerana membuktikan “The Best Work Commitment” yang ternyata membuahkan kejayaan dengan adanya PAUS yang pertama di Sabah malahan di Malaysia yang dikendalikan dan diselaras sepenuhnya oleh Jabatan Kerajaan Negeri Sabah di bawah KPMKR.
“Melalui Sabah Maju Jaya, kementerian saya sangat bertanggungjawab kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat di Sabah. Melalui JPKA Sabah, pelbagai kemudahan telah diwujudkan dan tersedia sehingga sekarang.
“Antaranya adalah Rumah Wargatua di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan, Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Beaufort dan Kudat selain perkhidmatan latihan dan bantuan kewangan kepada pelbagai golongan sasar yang berkeperluan di seluruh Sabah.
“Hari ini, KPMKR selangkah maju kehadapan dengan penubuhan PAUS melalui JPKA Sabah yang dikhususkan buat anak-anak Autisme dari umur 3 hingga 7 tahun yang berpusat dan beroperasi di bangunan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya, Sembulan, Kota Kinabalu,” katanya.
Menurut James, PAUS dikendalikan oleh kakitangan terlatih khusus untuk membimbing dan mengajar anak-anak Autisme dibantu oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) secara khusus.
“Saya difahamkan PAUS akan juga dilaksanakan di Daerah Tawau dan Sandakan dalam masa terdekat ini malahan PAUS akan ditubuhkan di semua daerah besar di Sabah seperti Daerah Kudat dan Daerah Beaufort.
“Merujuk kepada semua keberadaan bangunan Institusi OKU di Sabah. Maksudnya ada kepelbagaian perkhidmatan di dalam Institusi OKU kebajikan demi mengoptimumkan peranan jabatan membantu masyarakat dikalangan golongan sasar,” katanya.
Tambah beliau, PAUS sangat membantu ibubapa dalam mendidik anak-anak Autisme diperingkat awal dan mengurangkan bebanan kos pendidikan anak-anak kerana kos bagi kanak-kanak Autisme anjuran pihak swasta adalah lebih tinggi berbanding dengan Pusat Autisme Sabah.
Ujarnya, ianya juga memberikan jaminan penjagaan yang lebih sempurna disepanjang anak-anak berada di Pusat Autisme Sabah ini kerana kawalan dan makan minum adalah di bawah seliaan JPKA Sabah.
“Saya difahamkan PAUS adalah langkah awal bagi memupuk penyesuaian belajar mengenali huruf dan mengawal tingkah laku anak-anak Autisme agar lebih bersedia untuk ke alam sekolah sebenar dan bersedia menempuhi suasana persekolahan yang mencabar dan mampu menyesuaikan diri.
“Kesemua ini, membawa maksud bahawasanya Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan melalui pelbagai agensi kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup, ekonomi dan mengurangkan bebanan kehidupan rakyat selari dengan hasrat SMJ itu sendiri,” katanya.
Justeru, James mengesa agar rakyat gunakan peluang keemasan di PAUS untuk masa depan anak-anak Autisme dengan sebaik mungkin.
Katanya lagi, PAUS diharap sentiasa berkembang perkhidmatannya dan lebih menyeluruh di Sabah melalui JPKA Sabah.
“Saya selaku Menteri yang bertanggungjawab mengharapkan agar ada bantuan khusus bagi ibubapa yang menghantar anak-anak ke PAUS demi meringankan Kos Perbelanjaan selama mana berada di Pusat Autisme Sabah di seluruh Sabah,” jelas beliau.



