KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menghargai usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.
Pengerusi YPNM Sabah David Chan berkata pelaksanaan skim itu amat penting bagi melindungi kepentingan pengguna serta memastikan barangan makanan asas dijual pada harga berpatutan ketika musim perayaan apabila permintaan terhadap barangan keperluan meningkat.
Beliau berkata peniaga dan peruncit juga perlu sentiasa peka serta mematuhi senarai barangan makanan yang telah digazetkan di bawah skim kawalan harga berkenaan.
“Para peniaga digesa menghormati peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang bentuk pencatutan harga yang boleh membebankan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa pengguna supaya berbelanja secara bijak serta mengurus perbelanjaan isi rumah dengan lebih berhemah sepanjang musim perayaan.
Katanya, situasi ketegangan geopolitik dan konflik yang berlaku di Timur Tengah berpotensi menimbulkan ketidaktentuan harga bahan api di pasaran global yang boleh memberi kesan kepada kos sara hidup.
Menurut beliau, semua pihak termasuk peniaga, penguat kuasa dan pengguna perlu bekerjasama bagi memastikan suasana pasaran yang adil dan stabil.
“YPNM akan terus komited memperjuangkan hak pengguna serta menyokong usaha kerajaan dalam memastikan ketelusan harga, keadilan pasaran dan kestabilan ekonomi demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.



