26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Oktober 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Wiramuda StarSabah menjunjung kasih ke atas titah Agong

KOTA KINABALU: Pergerakan Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (Star) menjunjung kasih keatas titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menyeru semua lapisan masyarakat memperkukuh perpaduan negara dan tidak mempermainkan isu 3R (race,religion and royalty).

Ketuanya, Kong Soon Choi berkata, sebagai sebuah negara bangsa yang berbilang kaum dan agama, perpaduan merupakan tonggak kepada kemakmuran untuk masyarakat menikmati kehidupan yang penuh dengan toleransi dan saling hormat-menghormati.

“Isu 3R seharusnya tidak menjadi senjata yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan perpaduan kaum dan agama di negara ini. Justeru, semua pihak perlu menghayati sepenuhnya titah Yang di-Pertuan Agong yang menyarankan agar tiada pihak yang cuba menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R’’. Jelasnya.

Kong yang juga Pengerusi Korporasi Kemajuan Perikanan Dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) berkata, kemakmuran negara turut membantu melonjak ekonomi yang lebih mampan dimana impaknya berbalik kepada rakyat.

Katanya, jika rakyat bersatu padu mempertahankan perpaduan yang dikecapi ketika ini, para pelabur dari negara luar akan berasa selamat untuk melebarkan pelaburan mereka seterusnya membuka peluang pekerjaan dan ruang perniagaan yang luas kepada penduduk tempatan.

‘’Dalam pada itu, saya bersama barisan Wiramuda Star Sabah turut menyokong titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar kearah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni”. Katanya.

Pada Isnin, Sultan Ibrahim menitahkan agar semua lapisan masyarakat supaya memperkukuhkan perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R dan menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

“Kita semua sedia maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara yang mesti dihormati. Ia adalah hasil daripada persetujuan Raja-Raja Melayu untuk membentuk Persekutuan dan memberikan punca kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang”. Titah Baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada Isnin.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN