Kong Soon Choi
KOTA KINABALU:Pergerakan Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyokong tindakan kerajaan negeri untuk menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah demi meningkatkan industri dan keterjaminan keselamatan makanan di negeri ini.
Ketuanya, Kong Soon Choi berkata, Sabah mampu memenuhi permintaan beras untuk keperluan pengguna kerana industri padi dapat dilaksanakan dengan adanya kawasan tanah yang luas di beberap daerah sekitar negeri Sabah.
“Kita tidak boleh terus bergantung kepada beras import semata-mata untuk memenuhi perimntaan rakyat di negeri ini. Sebaliknya, Sabah masih memiliki kawasan tanah yang luas untuk tujuan perindustrian padi yang mampu memenuhi permintaan semasa selain meningkatkan ekonomi petani”. Katanya.
Katanya, dengan keluasan tanah yang subur di negeri ini, Sabah boleh menjadi pusat jelapang padi seperti yang terdapat di negeri Kedah Dan Perlis yang sekaligus menarik lebih ramai pelabur dalam dan luar negara untuk memacu ekonomi di sini.
Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan penyertaan para petani untuk terus mendalami teknik penanaman padi yang lebih efisyen untuk mempastikan kualiti padi yang berdaya saing.
“Dengan adanya Lembaga Padi dan Beras Sabah, sudah tentu ia suatu peluang cerah kepada para petani untuk memperolehi lebih banyak pendapatan yang lumayan. Justeru, rebut mana-mana peluang kursus yang berkaitan untuk mendalami teknik penanaman padi yang berkualiti tinggi”. Jelasnya.
Pada Rabu, Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam satu kenyataan berkata, Kabinet Negeri bersetuju untuk menghidupkan semula Lembaga Padi Dan Beras Sabah sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan memastikan keselamatan makanan di negeri ini.
Beliau akan mengemukakan syor kepada Yang di-Pertua Negeri untuk kelulusan penubuhan Lembaga Padi dan Padi Sabah seperti yang termaktub dalam Seksyen 3 Enakmen Lembaga Hasil Pertanian 1981.