Dr.Joachim…sambutan tersebut hanya akan berlangsung dalam tempoh satu bulan.
KOTA KINABALU: Sambutan ulang tahun kelahiran rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah tahun ini tidak akan berlangsung selama tiga bulan, seperti yang didakwa oleh Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menjelaskan bahawa sambutan tersebut hanya akan berlangsung dalam tempoh satu bulan, iaitu pada Jun 2025.
Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan ketetapan Kabinet Negeri Sabah bahawa majlis rasmi sambutan akan diadakan pada 21 Jun 2025.
“Untuk makluman, jumlah acara telah dikurangkan daripada 12 acara pada tahun 2024 kepada tujuh sahaja pada tahun ini seperti yang telah dirancang.
“Selain itu, peruntukan perbelanjaan juga telah dikurangkan sebanyak 30% berbanding tahun 2024,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II, turut menekankan bahawa kesemua acara yang dianjurkan merupakan program tradisi yang lazim diadakan sempena ulang tahun kelahiran rasmi TYT Sabah setiap tahun.
Dengan penjelasan ini, beliau berharap agar tidak timbul sebarang kekeliruan berhubung penganjuran sambutan tersebut.
Terdahulu Darell yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog mengecam Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Hajiji yang merancang sambutan hari jadi Tun Musa selama tiga bulan.
Katanya menggunakan dana awam untuk sambutan dengan tempoh panjang itu adalah tidak boleh diterima.
“Secara peribadi, jika pembayaran kos yang akan diguna demi merayakan hari jadi TYT Sabah ini datang daripada dana persendirian dan bukan daripada dana kutipan cukai yang akan dijenamakan sebagai duit keerajaan, tak ada isu.
“Tetapi, merayakan selama tiga bulan dan mengunakan dana yang datang daripada cukai dibayar rakyat atau cukai yang datang daripada hasil bumi Sabah, semestinya ada isu,” katanya dalam catatan Facebook, seperti dilapor MalaysiaKini, hari ini.