Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: “ Sudah daftar sejak tiga bulan lalu tapi masih belum dapat suntikan vaksin” itulah antara luahan warganet Labuan di ruangan komen Facebook (FB) dan Group WhatsApp pemimpin masyarakat di sini mengenai isu segera daftar Vaksin Covid 19.
Ramai dalam kalangan warganet meluahkan kegusaran khususnya yang sudah lama mendaftar melalui MySejahtera tetapi belum mendapat panggilan temu janji untuk menerima suntikan vaksin.
Sebaliknya, mereka mendakwa ada beberapa rakan mereka yang difahamkan belum mendaftar dengan MySejathera, tetapi sudahpun menerima panggilan atau dapat masej (SMS) untuk menerima vaksin.
Selain itu, ada juga yang mengeluh kerana sudah beberapa kali mengemas kini maklumat yang diminta, termasuk mendaftar semula melalui Program Imunisasi COVID 19 Kebangsaan, tetapi masih belum menerima sebarang jawapan atau panggilan.
Bagaimanpun tidak semua mengeluh, ada juga yang membalas komen tanda bersyukur kerana mendapat panggilan dan SMS untuk menerima suntikan dos pertama dan kedua selepas mendaftar melalui MySejatera.
Dalam pada yang sama ramai juga warganet mahukan penghantaran vaksin ke Labuan dipercepatkan sekaligus dapat menamatkan keluhan mereka yang sudah lama mendaftar dan yang lebih penting dapat melindungi segera warga Labuan daripada jangkitan wabak COVID 19.
Terdahulu sebelum itu Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias serta beberapa pemimpin politik tempatan di sini mengesa warga Labuan yang belum mendaftar untuk suntikan vaksin supaya segera mendaftar.
Gesaan itu dibuat selepas Labuan merekodkan peningkatan mendadak jangkitan positif COVID 19 melepasi tiga angka sejak tiga minggu lalu berikutan jangkitan varian B.1.671.2 (varian India) yang dilaporkan masuk ke Labuan pada 23 April lalu.
Untuk rekod setakat 11 Jun lalu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan telah merekodkan 17,650 individu menerima vaksin dos pertama dan 13,406 individu menerima dos kedua.