Rusdin dan Jimmy menyerahkan sumbangan kepada para warga emas yang hadir dalam majlis tersebut
RANAU: Warga emas merupakan sumber pengalaman, kebijaksanaan serta nilai kehidupan yang amat berharga, justeru mesti diberi penjagaan yang terbaik, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
“Mereka telah melalui pelbagai cabaran dan perubahan zaman, namun tetap menjadi tonggak kepada kekuatan keluarga dan masyarakat. Oleh yang demikian, penghargaan amat wajar diberikan sebagai tanda terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan mereka,” kata beliau.
Masidi yang diwakili ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman berkata demikian semasa Majlis Hari Warga Emas serta Penyampaian Sijil Cemerlang anjuran Persatuan Hakka Daerah Ranau yang diadakan di Dewan Persatuan Hakka Daerah Ranau pada hari Ahad.
Pada masa yang sama, beliau juga mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang menerima sijil kecemerlangan pada acara tersebut.
“Kejayaan yang dicapai merupakan hasil usaha gigih serta sokongan daripada ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling. Saya berharap para pelajar akan terus mengekalkan semangat untuk menuntut ilmu dan berusaha mencapai kejayaan yang lebih tinggi pada masa hadapan.
“Saya percaya bahawa dengan kerjasama dan semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat, kita mampu melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah serta negara,” kata beliau.
Tambah beliau, majlis itu bukan sahaja bertujuan meraikan warga emas yang telah banyak berjasa kepada keluarga dan masyarakat, malah turut memberi penghargaan kepada generasi muda yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik.
Kedua-dua golongan ini, katanya, melambangkan kesinambungan generasi yang penting dalam sesebuah masyarakat.
Sementara itu, Rusdin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Hakka Daerah Ranau atas usaha menganjurkan majlis itu dan berharap persatuan ini akan terus memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan dan kebajikan komuniti.
Dalam pada itu, Pengerusi Penganjur merangkap Presiden Dewan Perniagaan Ranau Tiong Hua dan Presiden Persatuan Hakka Daerah Ranau, Datuk Dr Jimmy Tham Yuk Leong mengalu-alukan kehadiran Rusdin buat pertama kalinya ke program anjuran persatuan itu.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada semua yang sudi meluangkan masa untuk hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan 2026 Kali Kedua bagi Penggal ke-14 Persatuan Hakka Ranau, yang turut disertai dengan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Anak-anak Ahli bagi Tahun 2024 dan 2025, Majlis Menghormati Warga Emas Kali ke-32, serta Majlis Persahabatan bertemakan ‘Melangkah Bersama, Mengukuhkan Ikatan Hakka’ pada hari ini.
“Sebagai sebuah persatuan yang berteraskan nilai budaya masyarakat Hakka, kami sentiasa menitikberatkan kepentingan pendidikan serta penghormatan kepada golongan warga emas.
“Pada tahun ini, seramai 12 orang anak ahli persatuan menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian mereka dalam pelajaran.
“Kami berharap anugerah ini akan menjadi dorongan kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya.
Menurut Tham, seramai 52 orang warga emas turut diraikan dalam Majlis Menghormati Warga Emas pada tahun ini. Mereka merupakan insan yang banyak berjasa kepada keluarga, masyarakat dan juga pembangunan persatuan.
“Penganjuran majlis ini adalah sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kami terhadap sumbangan serta pengorbanan mereka sepanjang hayat,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang perjalanan persatuan ini, segala pencapaian yang dikecapi adalah hasil daripada kerjasama, sokongan dan komitmen para ahli serta masyarakat setempat.
“Oleh itu, saya berharap semua ahli akan terus bersatu hati dan memberikan sokongan padu demi memastikan Persatuan Hakka Ranau terus maju dan berkembang pada masa hadapan,” katanya.
Di majlis itu, Rusdin mengumumkan bantuan sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Hakka Daerah Ranau dan memberikan komitmen untuk membantu dalam usaha persatuan membina lif untuk bangunan persatuan tersebut bagi memudahkan golongan warga emas naik ke tingkat atas bangunan empat tingkat itu.



