31 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 4, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Wanita pecah rekod dunia lahir bayi kembar 10

PRETORIA, AFRIKA SELATAN – Seorang wanita melahirkan bayi kembar 10 atau decuplets menerusi satu proses pembedahan, sekali gus dipercayai menjadikannya sebagai pemegang Guinness World Records baharu kerana melahirkan bayi paling ramai, lapor laman berita United Press International semalam.

Wanita tersebut, Gosiame Thamara Sithole, 37, melahirkan bayi-bayi tersebut di Hospital Pretoria selepas doktor pada asalnya menjangkakan dia bakal melahirkan bayi kembar lapan.

Suaminya, Teboho Tsotetsi berkata, selepas menjalankan pembedahan, mereka terkejut apabila mendapati sebenarnya terdapat 10 orang bayi dalam kandungan Sithole.

“Bayi-bayi itu terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan. Isteri saya melahirkan mereka ketika kandungannya berusia tujuh bulan tujuh hari,” ujarnya.

Pasangan suami isteri itu sebelum ini mengaku bahawa Sithole hamil secara semula jadi tanpa menjalani sebarang rawatan kesuburan.

“Saya terkejut dengan kehamilan ini. Saya hanya mampu berdoa kepada Tuhan supaya proses kelahiran berjalan dengan lancar, dan saya serta anak-anak selamat semuanya,” kata Sithole.

Sementara itu, Timbalan Ketua Fakulti Perubatan di Universiti Sains Kesihatan Sefako Makgatho, Profesor Dini Mawela berkata, keadaan itu adalah sesuatu yang jarang berlaku untuk seorang wanita hamil dengan bilangan kembar yang ramai tanpa menjalani sebarang rawatan kesuburan.

“Apa yang menjadi bahaya kepada keadaan ini adalah keadaan di mana bayi-bayi tersebut tidak mempunyai ruang yang cukup di dalam rahim ibu, yang membawa kepada risiko mereka menjadi kecil.

“Disebabkan itu, para doktor terpaksa mengeluarkan bayi-bayi tersebut lebih awal kerana bimbang akan risiko tersebut jika mereka dibiarkan berada di dalam rahim lebih lama,” katanya.

Terdahulu, pada Mei lepas, seorang wanita dari Maghribi memegang rekod dunia selepas melahirkan bayi kembar sembilan. – AGENSI

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN