32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Mac 29, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Wanita gagal patuhi arahan kuarantin cetus 41 kes di Ranau

Gambar sekadar hiasan

KOTA KINABALU – Kegagalan seorang wanita berusia 32 tahun mematuhi arahan kuarantin mencetus Kluster Paka Kawiyan di Ranau yang baharu direkodkan pada Ahad melibatkan 41 kes positif Covid-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, wanita kes indeks itu disahkan positif hasil saringan rentas negeri dan didapati berinteraksi dengan penduduk kampung di sebuah kawasan kebun getah ketika cuba mendapatkan akses talian internet.

“Hasil beberapa siri saringan kontak rapat pada 29 Julai hingga 14 Ogos, terdapat pertambahan bilangan kes dalam kalangan kontak rapat dan kontak sosial kes indeks. Daripada 132 orang disaring, kluster ini merekodkan 41 kes positif termasuk 13 kes baharu hari ini,” katanya menerusi kenyataan Ahad malam.

Masidi berkata, dua lagi kluster yang direkodkan hari ini ialah Kluster Tangkuyan di Kinabatangan iaitu kluster komuniti yang merekodkan 129 kes positif Covid-19 dan Kluster Segama Batu Satu di Lahad Datu sebuah kluster tempat kerja melibatkan 18 kes.

“Kluster Tangkuyan dicetus kerani wanita berusia 27 tahun di ladang sawit Beluran yang menghadiri upacara pengebumian ahli keluarga di Kampung Tangkuyan di Kuamut, manakala Kluster Segama Batu Satu dicetus lelaki 40 tahun di syarikat perusahaan tayar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah ialah 1,665 kes menjadikan jumlah kumulatif 105,102 kes manakala jumlah pesakit sembuh pada Ahad 1,220 menjadikan jumlah kumulatif 88,196 orang dan 5,268 pesakit sedang menerima rawatan.

“Sehingga semalam (14 Ogos), 45.4 peratus atau lebih 1.25 juta penduduk dewasa Sabah telah memperolehi satu dos vaksin dan 21.7 peratus atau 599,823 melengkapkan dua dos. Peratusan penerima dua dos lengkap dijangka bertambah minggu hadapan apabila lebih ramai penduduk memperolehi dos kedua,” katanya. – Bernama

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN