ADVERTISEMENTspot_img

WAKAL ‘Sungkai’ di Rumah Etnik Kedayan

Warga WAKAL ketika sungkai di Rumah Etnik Kedayan.

LABUAN: Persatuan Kedayan Labuan (WAKAL) mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali menganjurkan Program Majlis Iftar dan Solat Sunat Terawih (Sungkai Bersama WAKAL) di Rumah Etnik Kedayan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan malam tadi.

Program berkenaan menghimpunkan komuniti masyarakat Kedayan dalam suasana penuh harmoni, sekali gus mengangkat nilai keagamaan dan budaya sempena bulan Ramadan.

“Sungkai”, yang bermaksud berbuka puasa dalam dialek Kedayan, menjadi simbol penyatuan komuniti dalam usaha memperkukuh semangat kebersamaan.

Rumah Etnik Kedayan, merupakan sebuah mercu tanda warisan yang dibangunkan oleh Perbadanan Labuan tahun lalu menampilkan keunikan seni bina tradisional Kedayan yang autentik, sekali gus memperkukuh identiti masyarakat setempat.

Selain berbuka puasa, program turut diisi dengan aktiviti perkongsian ilmu dan pengalaman antara warga emas dan golongan belia bagi memastikan warisan budaya terus dipelihara.

Rozman (duduk tiga dari kanan) bersama warga WAKAL di Rumah Etnik Kedayan.

Yang Dipertua WAKAL, Datuk Rozman Isli berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja mengimarahkan Ramadan, malah menjadi platform memperkukuh silaturahim dan memartabatkan budaya masyarakat Kedayan.

Menurut beliau, kerjasama antara WAKAL dan Perbadanan Labuan juga dilihat mampu memperkasa sektor pelancongan berasaskan komuniti dan warisan.

“Rumah Etnik Kedayan berpotensi untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan unik yang mampu menarik kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa.

“Ia juga selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, kami komited untuk terus bekerjasama dalam merangka program-program berimpak tinggi yang bukan sahaja mempromosikan keindahan budaya Kedayan, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta memperkukuh kedudukan Labuan sebagai destinasi pelancongan budaya yang berdaya saing di peringkat nasional dan serantau.”katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN