SUKSES…..pemindahan gas asli cecair (LNG) yang pertama dari kapal ke kapal oleh syarikat Victoria STS Sdn. Bhd.
LABUAN: Syarikat Victoria STS Sdn. Bhd yang berpangkalan di Labuan berhasil melaksanakan operasi pemindahan gas asli cecair (LNG) dari kapal ke kapal yang pertama di had pelabuhan Teluk Victoria, kira kira 10 batu nautika dari Bandar Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Benjamin Bernard Bijion berkata, operasi pemindahan LNG kapal ke kapal itu berjalan dengan lancar dan dijangka ia akan siap sepenuhnya pada petang esok (Khamis).
“Kita telah berjaya merapatkan (melabuhkan) kedua-dua kapal itu dengan selamat hari ini (Rabu) tanpa sebarang masalah atau ganguan teknikal kepada petugas dan juga pencemaran kepada alam sekitar” katanya.

KENANGAN… Rithuan (tujuh dari kiri), bersama beberapa ketua ketua jabatan yang telah menyaksikan operasi pemindahan LNG dari kapal ke kapal yang dikendalikan Victoria STS.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan operasi pemindahan LNG dari kapal ke kapal bersama media dan juga ketua ketua jabatan kerajaan yang berkaitan dengan perkhidmatan yang dikendalikan oleh Victoria STS.
Benjamin berkata Victoria STS telah memperoleh kontrak untuk mengendalikan operasi pemindahan perkhidmatan kargo termasuk LNG dari kapal ke kapal di enam dermaga yang terletak bersebelahan dengan taman laut Pulau Kuraman.
Antara yang menyaksikan operasi pemindahan LNG dari kapal ke kapal itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Haji Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Ismaidi Ismail dan Timbalan Pengarah Jabatan Kastam Di Raja Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan, Mirani Majidin.