PERASMIAN… Ustaz Abdul Somad ketika merasmikan surau Ummi Hadijah Desa Tunas Hijau sambil diperhatikan Mohd Alias (dua dari kanan) dan Mohd Rafi (kiri sekali)
LABUAN:Tokoh Pendakwah Tersohor Indonesia, Ustaz Abdul Somad diberikan keistimewaan untuk merasmikan surau Ummi Hadijah yang terletak di taman rekreasi Desa Tunas Hijau Kampung Sungai Miri, di sini baru baru ini.
Surau yang baru siap dibina oleh pemilik Desa Tunas Hijau, Datuk Sri Mohd Alias Abdul Rahman itu merupakan satu satunya surau yang dirasmikan oleh seorang ulama tersohor yang juga pendakwah terkenal bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di Malaysia termasuk di Brunei Darussalam.
Ustaz Abdul Somad berada di Labuan bagi memenuhi jemputan para pemimpin Labuan untuk menjayakan program Labuan Berselawat serta siri jelajah ceramahnya di pulau ini.
Sementara itu, Datuk Sri Mohd Alias berkata pembinaan surau di kawasan pusat taman rekreasi itu bertujuan untuk memberi kemudahan umat Islam menunaikan solat ketika melakukan riadah bersama keluarga di taman seluas lebih tujuh ekar itu.
Mohd Alias berkata, Taman Desa Tunas Hijau sentiasa menitikberatkan penyediaan kemudahan yang selesa kepada pengunjung termasuk penyediaan tempat beribadat untuk pengunjung yang beragama Islam.
“Selain itu surau yang mampu menampung sehingga 200 jemaah itu turut menganjurkan beberapa program pada masa lapang dengan menjalankan pengajian Al-Quran oleh pengajar yang bertauliah.
“Memadangkan Kampung Sungai Miri belum ada masjid dau surau maka saya ingin menyarankan Jemaah kampung ini boleh menggunakan surau ini sekaligus mengangkat surau Ummi Hadijah sebagai surau Kampung Sungai pagar” katanya.
Terdahulu Ustaz Abdul Somat turut menyampaikan tazkirah bertajuk “Indahnya Infaq Menyubur rezeki” dihadapan 1,000 tetamu yang hadir pada majlis itu serta berpeluang untuk menjawab dan melontarkan pandangan dari sudut Islam berkaitan isu isu yang dikemukan oleh para hadirin.
Sementara itu, Pengarah Urusan Desa Tunas Hijau, Datin Norsiah Abdullah turut mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Abdul Somad yang sudi berkunjung ke Desa Tunas Hijau untuk merasmikan surau Ummi Hadijah serta disuburkan lagi dengan majlis ilmu melalui tazkirah yang disampaikan oleh beliau.
Hadir sama, Penaung Program Labuan Berselawat, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan, Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias, mantan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holding, Noor Halim Datuk Zaini.