Mohd Ali (bersongkok) dan Ketua Penolong Pegawai Perubatan, A. Ishak Rahmat (kiri sekali) bersama salah seorang peserta yang telah sempurna berkhatan.
LABUAN: Sudah menjadi tradisi USIA Bahagian Labuan menganjurkan Program Berkhatan Beramai ramai setiap kali menjelangnya musim cuti sekolah hujung tahun.
Pada tahun ini seramai 61 kanak kanak berumur 10 hingga 12 tahun dari kalangan keluarga kurang berkemampuan menyertai program tersebut secara percuma.
Yang Dipertua USIA Bahagian Labuan, Mohd Ali @ Aliman Asmaran Datuk Seri Panglima Mohammed Bledram berkata, program tahunan itu bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa serta memastikan proses berkhatan dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur.
Jelasnya lagi berkhatan beramai ramai ini juga dapat menghilangkan rasa takut dan rasa gemuruh kanak-kanak yang bakal bergelar baligh dan seterusnya menginjak ke alam dewasa.
“Kos pembiayaan berkhatan ini di biayai sepenuhnya oleh USIA Labuan sebagai salah satu usaha membantu mengurangkan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Berkhatan Beramai-ramai di perkarangan Hospital Labuan di sini, pada Khamis.
Menurut Mohd Ali, program seumpama ini bukan sahaja untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan tetapi juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat dengan ahli ahli USIA Bahagian Labuan.
Program yang bermula seawal 7 pagi itu turut mendapat kerjasama daripada Hospital Labuan, Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan.



