TERIMA KASIH …. Jahid (tengah) menyaksikan simbolik penyerahan sebanyak 10,000 buns kepada PGA Briged Sabah oleh Pengarah Urusan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Dexter Lau (kanan) kepada Komander Briged PGA Sabah, SAC Mohd Abduh Ismail (kiri).
KINARUT: Usaha para petugas barisan hadapan (frontliners) dalam mendepani penularan wabak Corona Virus (Covid-19) sentiasa dihargai.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, kerajaan negeri mengiktiraf dan menghargai pengorbanan Pasukan Gerakan Awam (PGA) di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan dan kesihatan setiap penduduk terjaga sejak awal negara diserang wabak itu.
“Mereka bukan sahaja sanggup mempertaruhkan nyawa demi memikul amanah diberi, malah komited dalam melaksanakan tugas demi menjaga keselamatan semua rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan majlis Penyampaian Sumbangan 10,000 Bun Kepada PGA Brided Sabah, Kinarut, sini hari ini.
Turut hadir Komander Briged PGA Sabah, SAC Mohd Abduh Ismail dan Pengarah Urusan Syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Dexter Lau.
Katanya, sumbangan PGA sangat penting terutamanya dalam tugas mengawal keselamatan rakyat khususnya ketika negara dan seluruh dunia dilanda Pandemik Covid-19.
Menurut Jahid, sebelum ini beliau juga telah menyaksikan syarikat Kim Teck Cheong menyumbang kepada frontliners seperti hospital, klinik, PDRM, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), RELA, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan agensi kerajaan lain.
“Kami berkolaborasi sebagai pemudah cara bagi syarikat ini bersama dengan golongan sasar bagi menghargai sumbangan mereka kepada rakyat khususnya dalam menghadapi Pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, mengakui tugas dan tanggungjawab PGA tidak dapat dinilai dengan wang ringgit, tetapi sebagai tanda penghargaan, kerajaan melalui KPLB Sabah dengan kerjasama syarikat korporat itu tampil memberi sedikit sumbangan.
“Walau nilai itu tidak seberapa tapi sekurang-kurangnya mereka rasa khidmat mereka dihargai,” katanya.
Projek tersebut diselenggara oleh sebuah badan NGO, Better Bets Project diketuai oleh Sylvua Pius Laban dan Sifera Kodoh.